ADIB yang merupakan mahasiswa UM membentangkan projek tahun akhirnya yang mengkaji anime popular dari Jepun, Attack on Titan Final Season.

Adib suka budaya Jepun, buat kajian anime

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENGIKUTI pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajian Asia Timur (Pengkhususan Jepun) di Universiti Malaya (UM) membuka dimensi baharu dalam hidup Ahmad Danial Adib Ahmad Daud mengenai negara Matahari Terbit termasuk budaya, bahasa dan tatasusila masyarakatnya.

Ahmad Danial Adib, 24, atau lebih mesra disapa Adib mula tertarik untuk mempelajari mengenai negara Jepun apabila dia terbaca perkongsian di blog oleh salah seorang pelajar jurusan tersebut.

Bertitik tolak dari situ, Adib mencari maklumat mengenai pengajian yang ditawarkan berkaitan dengan Jepun untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah dan akhirnya dia membuat keputusan memilih UM kerana pengajian mengenai Jepun hanya ditawarkan di universiti tersebut.

“Pengajian Asia Timur melibatkan tiga cabang utama iaitu Jepun, Korea dan China, pelajar boleh memilih negara mana yang mahu mereka dalami dan saya memilih Jepun.

“Saya berasa bertuah dan teruja untuk mempelajar tentang Jepun termasuk budaya, bahasa, politik dan masyarakat. Secara peribadi, saya sangat suka bahasa mereka yang sangat lemah lembut dan beradab.

“Saya seronok mendalami budaya mereka, festival dan sikap menepati masa yang menjadi perkara normal dalam kehidupan baik kanak-kanak sehingga orang dewasa,” kata anak sulung daripada lima beradik itu.

Baru-baru ini Adib tular di media sosial apabila dia memilih siri anime popular dari Jepun, Attack on Titan Final Season sebagai projek tahun akhirnya. Perkongsian di laman sosial itu membuatkan ramai orang teruja terutama daripada peminat anime Jepun.

“Di Malaysia, tidak ramai yang membuat kajian mengenai anime kerana dikatakan tidak berkaitan dengan kehidupan sebenar dan hanya animasi untuk kanak-kanak. Itu adalah pandangan cetek, sedangkan dalam anime banyak aspek boleh dikaji.

ADIB (dua dari kanan) bersama rakan-rakan seperjuangan di universiti mendalami budaya Jepun.

“Oleh itu, saya mencabar diri untuk menyiapkan kajian bertajuk Moral Disengagement and The Justification in Attack on Titan Final Season: An Analysis Using Albert Bandura’s Moral Disengagement Theory,” katanya yang turut bergiat aktif dalam seni bela diri muay thai.

Berkongsi mengenai kajiannya itu, Adib memberitahu, kajian tersebut melihat bagaimana watak-watak dalam anime itu menjustifikasikan keganasan melalui Albert Bandura’s Moral Disengagement Theory.

“Secara mudahnya adalah melihat bagaimana seseorang boleh melakukan keganasan tetapi berasakan tindakan itu betul atau perlu dilakukan. Saya pilih topik ini kerana mahu kaitkannya dengan budaya popular Jepun, moral, konflik dan keganasan.

“Hasil kajian saya mendapati apabila seseorang manusia disudutkan dengan situasi tertentu, mereka akan menganggap benda yang tidak betul sebagai betul,” katanya yang juga berkebolehan dalam mereka permainan video sehingga pasukannya berjaya meraih pingat emas dalam Sintok International Games and Gamification pada 2020.

Sementara itu, kenangan paling manis sepanjang mengikuti pengajian dalam jurusan tersebut adalah ketika berpeluang mengikuti pertukaran pelajar ke Aoyama Gakuin University selama setahun semasa di tahun dua pengajian.

“Berada di Jepun pada ketika itu memberi saya suasana yang berbeza kerana bukan sahaja perlu berdikari seorang diri tetapi memahami adat dan budaya secara langsung serta mempraktikkan bahasa mereka. Bagi saya, mempelajari bahasa Jepun agak susah apatah lagi perlu mempelajarinya dari kosong kerana tiada langsung asas. Selain itu,

Jepun juga mempunyai tiga tulisan berbeza iaitu Hiragana, Katakana dan Kanji,” ujarnya.

Sehubungan itu, bulan pertama dan kedua agak sukar untuknya menjalani kehidupan di tempat baharu, tambahan pula dengan batasan bahasa kerana orang-orang di Jepun tidak menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Ketekunan dan kesabarannya belajar bahasa Jepun akhirnya membuahkan hasil. Adib berasa seronok bergaul dengan rakan-rakan di universiti, malah turut mengambil peluang bekerja di hotel dan restoran makanan Jepun ketika masa lapang.

“Pengalaman di Jepun membuatkan saya lebih berdikari dan menjadi titik tolak kepada hobi mengembara secara solo. Saya suka melihat tempat orang dan berkomunikasi dengan mereka.

“Bagi saya, ini pengalaman paling mahal yang membentuk diri saya untuk melihat dunia dari perspektif berbeza,” katanya yang bercita-cita untuk bekerja dalam bidang hubungan antarabangsa, diplomat atau bertugas di organisasi antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN