SIAPA sangka, minat yang tercetus secara tidak sengaja akhirnya berkembang menjadi satu jenama kraf yang mendapat perhatian ramai.
Mula menceburi bidang seni miniatur tanah liat polimer atau polymer clay sekitar 2024, Ainul Shafiza Rahim, 29, awalnya hanya berniat untuk menjadikan aktiviti kraf tangan sebagai hobi mengisi masa lapang.
Katanya, platform YouTube menjadi ‘sekolah’ buatnya mempelajari pembuatan seni tanah liat terutama video dari luar negara.
“Pada 2024, saya terpanggil untuk melibatkan diri dalam pembuatan kraf tanah liat selepas melihat video pembuatan di YouTube. Sejak itu, saya mempelajari jenis bahan, alat serta teknik yang digunakan dalam bidang ini.
“Saya semakin aktif dalam pembuatan miniatur tanah liat ini selepas rajin membuat tutorial secara siaran langsung di TikTok.
“Ramai menonton siaran langsung (live) saya untuk belajar dan membeli miniatur ini. Asbab banyak permintaan, aktiviti yang dahulunya sekadar suka-suka kini menjadi salah satu sumber pendapatan saya,” katanya kepada CitaRasa baru-baru ini.
Menurutnya, kebanyakan produk miniatur tanah liat yang ditempah adalah dalam bentuk makanan, minuman dan haiwan untuk dijadikan sebagai rantai kunci, magnet peti sejuk dan koleksi miniatur.
Antara miniatur makanan yang dihasilkan ialah nasi kerabu, susyi, nasi ayam, sate, nasi lemak dan sebagainya.
“Saya akui, kemahiran menghasilkan miniatur tanah liat ini diasah daripada pengalaman menghasilkan tempahan pelanggan yang pelbagai.
“Tanah liat jenis polimer menjadi bahan utama dalam pembuatan kraf tangan ini.
“Polimer berbeza dengan tanah liat lain yang memerlukan proses pembakaran untuk dikeraskan.
“Pemilihan tanah liat polimer sebagai bahan utama juga adalah atas faktor tekstur yang mudah dibentuk, kepelbagaian warna tersedia dan masa singkat untuk dikeraskan,” ujar Pengasas Clayhood Creations Enterprise itu.
Selain tanah liat, Ainul turut menggunakan serbuk warna soft pastel, cat akrilik serta resin bagi hasilkan kesan visual lebih ‘hidup’.
Gabungan semua bahan tersebut membantu menyerlahkan tekstur, warna dan perincian sehingga miniatur yang terhasil kelihatan hampir menyerupai objek sebenar.
Walaupun kelihatan mudah, namun penghasilan miniatur tetap mempunyai cabaran tersendiri.
Kata Ainul Shafiza, semakin kecil saiz sesuatu karya, semakin sukar proses menghasilkannya kerana memerlukan perincian kemas dan realistik.
“Penghasilan miniatur ini memerlukan media warna yang memainkan peranan penting untuk menyerlahkan lagi setiap karya.
“Bagi peralatan pula, kebanyakannya adalah alat khas ukiran tanah liat dan beberapa alat tambahan yang lebih halus. Misalnya, alat pembuatan kuku (alat mengukir),” katanya.
Mengulas proses penghasilan seni itu, dia memaklumkan, ia bermula dengan mencampurkan warna tanah liat bagi mendapatkan tona tepat sebelum dibentuk dan diukir mengikut rekaan.
“Kemudian, warna tambahan disapu menggunakan soft pastel, sebelum dibakar pada suhu sekitar 130 darjah Celsius selama lapan hingga 10 minit. Pada sentuhan akhir, setiap produk disalut dengan pengilat khas bagi meningkatkan ketahanan dan memberikan kemasan lebih menarik,” katanya.
Untuk makluman, proses pembakaran boleh dibuat sama ada dimasukkan ke dalam ketuhar atau menggunakan head gun.
Setiap produk yang dihasilkan oleh Ainul boleh didapati di akaun Clayhood.co dalam TikTok dengan harga antara RM15 hingga RM60.














