PARA peserta dari Brunei dan Malaysia yang berusia antara 50 tahun hingga 70 tahun berbasikal bersama dari Sijangkang ke Shah Alam baru-baru ini.

Kenal di Mekah, ‘otai’ 2 negara kayuh basikal bersama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SIAPA sangka, hobi berbasikal telah membawa 12 warga Brunei menyeberangi Laut China Selatan demi mengukuhkan ukhuwah dengan ahli kelab berbasikal Otai Cycling Sijangkang (OCS) di Kampung Sijangkang, Kuala Langat, Banting Selangor.

Demi memperkukuh ukhuwah dua kumpulan yang mempunyai minat yang sama, lautan luas bukanlah pemisah dan menjadi masalah yang besar.

Maka, kesemua basikal tersayang dibawa dengan kapal terbang sebagai pengangkutan ke Semenanjung Malaysia bagi memastikan program kayuhan basikal dapat dijayakan.

Bak bidalan hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih, itulah kata-kata azimat yang tersemat di dada pengayuh basikal veteran dari negara kaya minyak itu.

Melibatkan peserta antara usia 50 tahun hingga 70 tahun, program yang melibatkan dua negara itu dimeriahkan dengan pelbagai acara antaranya konvoi berbasikal sejauh 40 kilometer dari Sijangkang ke Shah Alam.

Warga-warga emas ini menunjukkan semangat berbasikal yang begitu kuat dengan tertua antara mereka berusia 77 tahun

Menurut ahli kelab basikal Seria Santai Riders (SSR) dari Tutung, Brunei, Mohd. Zul Yaakub Ibrahim, 60, minat mengayuh basikal sejak muda telah menemukan dirinya dengan ahli kumpulan pengayuh basikal dari Kampung Sijangkang ketika menunaikan haji beberapa tahun lalu.

“Saya amat tersentuh dengan sambutan ahli kelab OCS yang menyambut kami sejak dari turun kapal terbang sehingga saat ini.

PARA peserta dari Brunei dan Malaysia yang berusia antara 50 tahun hingga 70 tahun berbasikal bersama dari Sijangkang ke Shah Alam baru-baru ini.

“Sambutan ini bukan sekadar sambutan untuk seorang kenalan malahan seperti saudara kandung sendiri,” katanya ketika ditemui di Taman Rekreasi Paya Bakau Kampung Sijangkang baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Kayuhan Persahabatan Komuniti Basikal Malaysia dan Komuniti Basikal Brunei yang dirasmikan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang, Datuk Zurihan Yusop di Dewan Harmoni Sijangkang.

Mohd.Zul Yaakub yang merupakan pesara dalam bidang komunikasi berkata, lawatan ke tempat menarik sambil melakukan konvoi berbasikal sekeliling Kampung Sijangkang hingga ke ibu negeri Selangor, Shah Alam tersebut adalah sebagai lawatan balas ahli Kelab OCS ke Brunei dua tahun lalu.

“Aktiviti berbasikal, selain merupakan aktiviti yang baik untuk kesihatan, program hari ini membuka peluang untuk kami melihat sendiri budaya masyarakat tempatan.

“Program ini sememangnya dirancang untuk membawa lebih ramai peserta.Namun atas sebab tertentu kita dapat mengumpul seramai ini sahaja,” katanya. 

PESERTA tertua yang mengikuti program itu, Masduki Karedi (dua dari kiri) dari kelab OCS.

Bagi sahabatnya dari Kuala Belait, Brunei, Bakar Abdullah, 69, berbasikal kini bukan sahaja menjadi aktiviti untuk meningkatkan kualiti kesihatan, malah mampu membina jambatan perpaduan antara rakyat kedua negara.

Bakar yang merupakan pesara dalam sektor minyak dan gas berkata, aktiviti kelab rekreasi berbasikal yang dilakukan semasa bekerja disambung dengan golongan veteran di luar.

“Semasa bekerja dahulu saya aktif dengan kelab basikal di bawah syarikat. Oleh kerana aktiviti ini mampu mengurangkan risiko penyakit, maka saya meneruskannya hingga sekarang sebagai aktiviti masa lapang.

“Dalam usia begini saya berasa gembira melawat kampung ini dan Shah Alam bersama rakan-rakan dari SSR dan OCS. 

“Terima kasih saya ucapkan layanan yang baik di dalam suasana kampung di sini,”ujarnya.

Jelasnya lagi, di samping berkayuh rombongan dari Brunei juga menghulurkan derma kepada Rumah Anak-Anak Yatim Sijangkang (RAYAS) sebagai sebahagian aktiviti rombongan dari Brunei di kampung tersebut.

Sementara itu Pengerusi OCS, Razlan Anuar melahirkan rasa gembira kerana dapat meraikan tetamu yang dianggap sebagai saudara kandung ke Kampung Sijangkang.

“Kita menyambut kesemua ahli rombongan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan meraikan mereka dengan pelbagai program seperti berkayuh, program amal dan lawatan ke Taman Rekreasi Paya Bakau Kampung Sijangkang dan makan malam di Warisan Hall & Studio. 

“Majoriti penduduk di sini masyarakat Jawa dan kita sajikan makanan seperti tempe. 

“Ahli kami lebih 30 orang dan sahabat dari Brunei juga kemudian berkayuh dari sini ke Shah Alam,” katanya. 

Bagi ahli OCS, Yusni Bolkin, 60, program yang mendapat kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sijangkang dan Ahli Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) perlu diteruskan sebagai wadah mengukuhkan persaudaraan masyarakat Nusantara.

“Selain dapat meningkatkan stamina dan kesihatan jantung, aktiviti berbasikal turut dikembangkan menjadi aktiviti kebajikan untuk membantu golongan memerlukan di Kampung Sijangkang ini,”ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN