KUALA LUMPUR – Skim Perlindungan mySalam bukan sahaja perlu dikekalkan, malah harus diperkasakan lagi sebagai salah satu akses untuk golongan B40 mendapatkan perlindungan asas secara percuma sekali gus mengurangkan tekanan kewangan ketika terdesak.
Skim Takaful tanpa sebarang bayaran caruman yang memberi impak besar kepada masyarakat itu membantu rakyat menghadapi cabaran kewangan apabila diuji dengan penyakit kritikal atau kemasukan ke wad hospital.
Ketuanya, Syuhaib Ithnin berkata, skim di bawah inisiatif Kementerian Kewangan itu diuruskan oleh Great Eastern Takaful Berhad itu mula diperkenalkan pada 2019 dan kekal hingga sekarang selepas mendapat sambutan positif daripada rakyat Malaysia.
Katanya, sehingga kini, mySalam telah memberi manfaat kepada lebih 2 juta penerima dalam kalangan golongan B40, sekali gus membuktikan keberkesanannya dalam membantu meringankan beban kewangan rakyat.
“Impak paling besar ialah penerima layak dibantu sekiranya disahkan menghidap salah satu daripada 50 penyakit kritikal yang tersenarai atau dimasukkan ke hospital kerajaan dan panel yang diluluskan.

“Antara manfaat utama termasuk bayaran sekali seumur hidup sebanyak RM8,000 untuk menampung kos rawatan, pengangkutan, ubat-ubatan dan keperluan harian ketika tidak mampu bekerja,” katanya.
Selain itu tambahnya, skim ini turut menyediakan manfaat hospitalisasi sebanyak RM50 sehari sehingga maksimum 14 hari setahun bersamaan RM700 setahun.
Menurut Syuhaib, kelayakan mySalam diberikan secara automatik kepada individu yang menerima bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan bantuan tunai berkaitan yang diproses melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Walaupun begitu, masih terdapat segelintir masyarakat yang kurang mengetahui tentang kewujudan atau cara membuat tuntutan mySalam.
Katanya, usaha penyebaran maklumat akan dipertingkatkan supaya lebih ramai rakyat memanfaatkan skim ini sepenuhnya.
Menurut Syuhaib, pihaknya akan menjelajah ke seluruh negara bagi menyebar luas lagi inisiatif berkenaan bagi memastikan tiada kumpulan ekonomi B40 tercicir daripada bantuan kerajaan.
“Sasaran mySalam adalah untuk membantu 10 juta golongan B40 yang layak menerima manfaat ini, kita hari-hari buat siaran langsung di media sosial untuk membuat hebahan kepada golongan sasar.
“Sebelum ini, kita banyak menumpang agensi-agensi kerajaan untuk perkenalkan mySalam, namun kali ini kami buat kelainan dengan memperkenalkan program sendiri iaitu Karnival 3K (kewangan, kesihatan dan kebajikan).

“Kami merancang untuk membawa Karnival 3K ini ke seluruh negara bagi memastikan mandat kerajaan menerusi mySalam dapat disalurkan dan mengelak golongan B40 yang layak tercicir,” katanya.
Mengulas lanjut, Syuhaib berkata, tuntutan manfaat mySalam cukup mudah kerana pemohon tidak perlu membuat sebarang pendaftaran dan juga tanpa melibatkan sebarang bayaran caruman.
“Manfaat mySalam tidak perlu mendaftar, tidak macam skim takaful yang insuran lain kerana kami sudah ada maklumat pemohon. Tuntutan boleh dibuat secara dalam talian melalui portal rasmi mySalam dengan memuat naik dokumen berkaitan seperti laporan perubatan dan bukti kemasukan hospital,” katanya.
Kesimpulannya, skim mySalam merupakan satu langkah prihatin kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat, khususnya golongan B40.
Bantuan perlindungan kesihatan seperti ini bukan sahaja memberi sokongan kewangan, malah memberi ketenangan kepada rakyat untuk menghadapi cabaran hidup.
Sehingga 11 Jun 2026, lebih 2 juta penerima telah menerima manfaat dengan jumlah bayaran tuntutan melebihi RM1.47 bilion. Orang ramai juga boleh mendapatkan bantuan secara langsung di kiosk mySalam yang berada di hospital kerajaaan untuk melancarkan proses tuntutan selain melayari www.mysalam.com.my untuk informasi lanjut.














