fbpx
PEKERJA sedang membaiki bumbung sebuah sekolah di ibu negara (kiri) dan menyiapkan kuarters kakitangan kerajaan di Lembah Klang.

‘Semua bahan binaan naik, baik kami gantung lesen’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kenaikan mendadak harga bahan binaan susulan ketidaktentuan ekonomi global memaksa lebih 70 peratus atau kira-kira 35,000 kontraktor kecil Kelas F (G1) menghentikan operasi buat sementara waktu.

Situasi itu menjadi lebih mencabar apabila jumlah projek yang ditawarkan kerajaan semakin berkurangan, sekali gus menjejaskan peluang kontraktor kecil untuk terus bertahan dalam industri pembinaan.

Lebih membimbangkan, bukan sahaja kontraktor terkesan, malah pekerja turut menerima tempias apabila ada dalam kalangan mereka terpaksa diberhentikan.

Berdasarkan rekod terkini Persatuan Kontraktor Kelas F (Perkobf), seramai 49,650 kontraktor G1 yang dibenarkan mengambil projek kerajaan berskala kecil sehingga RM200,000 berdaftar dengan persatuan itu.

Presiden Perkobf, Tukiman Radion berkata, kenaikan harga bahan binaan terutamanya pasir, batu, besi dan simen terlalu ke­tara berbanding awal tahun lalu.

Katanya, kenaikan lebih 30 peratus itu bermula selepas berlaku krisis di Asia Barat dan ketidaktentuan global menyebabkan kenaikan harga minyak dunia terutamanya diesel.

“Bayangkan sebelum ini harga pasir sekitar RM75 setan, tetapi sekarang RM110 setan. Begitu juga batu, dahulu RM65 hingga RM70, sekarang lebih RM95 setan.

“Itu belum lagi termasuk harga simen yang naik mencecah RM26 untuk satu beg 50 kilogram berbanding sebelum ini sekitar RM20 dan RM21.

“Macam kami (kontraktor kecil) selalunya beli barang di ‘hardware’ dalam kuantiti kecil, jadi harganya sedikit mahal tidak seperti harga borong,” katanya kepada Kosmo!.

Menurutnya, peningkatan harga bahan api itu juga mendorong kenaikan tambang penghantaran bahan binaan selain sewa ‘backhoe’ atau jengkaut juga naik sehingga mencecah RM750 sehari berbanding sebelum ini antara RM400 hingga RM450 sehari.

“Sudahlah bahan binaan naik, kos penghantaran juga naik, begitu juga dengan sewa backhoe pun naik, tetapi harga projek (sebut harga) masih pada paras lama.

“Pastinya ia mengurangkan keuntungan yang diperoleh akibat kenaikan bahan binaan ini. Kalau dahulunya kita boleh untung sehingga 35 peratus, sekarang ini paling banyak pun lima peratus sahaja.

“Malah ada masamya nak bayar gaji pekerja pun belum tentu lepas (mampu). Tidak hairanlah jika 70 peratus daripada kami sekarang rela gantung lesen daripada menanggung kerugian,” katanya.

Menurutnya, jumlah projek yang dikeluarkan kerajaan juga ketika ini berkurangan lebih 60 peratus terutamanya melibatkan cabutan undi.

“Kalau sebelum ini (dua ke tiga tahun kebelakangan) banyak projek cabutan undi. Sekarang tak banyak sangat, hampir 60 peratus projek tidak diberikan secara cabutan undi.

“Seperti di Kuala Lumpur sendiri, dahulunya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ada buat cabutan undi, tapi sekarang dah hampir setengah tahun ini masih belum ada projek cabutan undi.

“Di DBKL ini ada kira-kira 1,800 kontraktor kelas F (G1). Mereka ini sedang menanti bila DBKL nak buat cabutan undi, apabila ditanya, DBKL kata sedang bersiap (untuk buka projek baru),” katanya.

Sementara itu, seorang kontraktor kelas G1, yang mahu dikenali sebagai Alif, 36, mengakui projek amat terhad terutamanya di Kelantan.

Katanya, dia sudah lebih lima tahun tidak mendapat sebarang projek sama ada dari kerjaan persekutuan mahupun negeri.

Ekoran itu katanya, dia terpaksa menjadi tukang rumah separuh masa serta mengusahakan ternakan kambing bagi menampung perbelanjaan keluarganya.

“Dulu saya ada tiga orang pekerja dan sekarang saya terpaksa bekerja dengan orang lain (kontraktor lain). Saya ada juga cuba nasib apabila ada cabutan undi atau sebut harga projek namun jumlah projek amat terhad.

“Sekarang ini projek daripada Persekutuan boleh kira dengan jari dan kami terpaksa bersaing melalui cabutan undi, jika ada rezeki dapatlah projek tersebut,”katanya.

Menurutnya, bagi projek kerajaan negeri pula, biasanya ia telah dilobi oleh ‘orang dalam’ dan ‘kabel’ orang dalam.

“Jika ada ‘kabel’ dapatlah, jika tidak jangan mimpi nak dapat projek. Kalau dapat pun projek ‘sisa’ atau projek yang sukar untuk dibuat terutamanya kawasan pedalaman yang memakan kos tinggi,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN