SEORANG bayi yang baru dilahirkan mempunyai dua jantina, lelaki dan perempuan. Doktor mengesahkan bayi tersebut mempunyai alat jantina yang berfungsi dengan baik. Untuk mengesahkan alat kelamin mana lebih aktif perlu menunggu sehingga datang haid dan keluar air mani. Persoalannya, apakah nama yang lebih ‘awla’ (utama) untuk pendaftaran sama ada nama lelaki atau perempuan?
JAWAPAN: SESUNGGUHNYA, Allah SWT telah menetapkan bagi manusia kepada jantina lelaki dan perempuan.
Allah SWT berfirman: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).” (Surah al-Hujurat: 13)
Justeru itu, hanya terdapat dua jantina sahaja dan tiada ketiga seperti yang diperinci di dalam artikel kami, Bayan Linnas Siri Ke-235: Gender Ketiga Menurut Perspektif Islam.
Oleh itu, seseorang yang dilahirkan dengan dua alat kelamin lelaki dan wanita hendaklah ditentukan kecenderungannya sama ada kepada salah satu daripada dua jantina tersebut.
Namun, jika tidak dapat ditentukan jantinanya sama ada lelaki atau perempuan, golongan ini disebutkan sebagai khunsa musykil.
Ini seperti yang disebutkan oleh Syeikh al-Damiri dalam kitab al-Najm al-Wahhaj bahawa: “Khunsa musykil ialah seseorang yang mempunyai alat kelamin bagi lelaki dan wanita.
Kata jamaknya ialah khunasa mengikut timbangan hubala. Seseorang tidak dikira sebagai khunsa musykil kecuali dia mempunyai dua alat kelamin yang sempurna kejadiannya seperti keadaan yang wujud bagi lelaki dan wanita”.
Dalam hal ini, para fuqaha telah menetapkan beberapa cara untuk menentukan jantina bayi tersebut seperti yang disebutkan dalam artikel Irsyad Al- Fatwa Ke- 202: Hukum Hakam Berkaitan Khunsa.
Antaranya air kencing, sekiranya dia kencing melalui saluran zakar lelaki sahaja, maka dia adalah lelaki.
Manakala jika dia kencing melalui faraj, maka dia adalah perempuan.
Namun, jika dia kencing melalui kedua-duanya, maka diambil kira saluran mana yang dahulu ia keluar.
Oleh yang demikian, mestilah berusaha untuk menentukan kecenderungan jantina seseorang itu dengan cara-cara bersesuaian daripada apa disebutkan di atas terlebih dahulu.
Apabila seseorang dapat ditentukan kecenderungannya sama ada kepada lelaki atau wanita, maka dia mengambil kebanyakan hukum-hakam syarak berdasarkan jantina tersebut.
Bagaimanapun, mengenai isu pemilihan nama seseorang bayi yang dilahirkan sebagai khunsa musykil dan terdapat keperluan untuk urusan pendaftaran nama bayi, perkara ini tidak banyak disentuh oleh para fuqaha’.
Apa yang boleh dicadangkan di sini adalah pemilihan nama yang natural atau uniseks seperti Iman, Ilham, Hanis, Raihan dan sebagainya.
Hal ini supaya jika sudah dipastikan kecenderungan bayi tersebut suatu hari nanti, nama dipilih tersebut tidak menjadi keaiban atau kekeliruan bagi dirinya seperti perempuan bernama lelaki dan sebaliknya.
Di samping itu, nama-nama yang dipilih tersebut hendaklah mempunyai makna-makna yang indah dan baik.
Ini sepertimana sabda Rasulullah SAW bahawa:“Sesungguhnya kalian akan dipanggil pada hari kiamat dengan nama kalian dan nama bapa kalian, maka perelokkanlah nama kalian.” (Riwayat Abu Daud)
Kesimpulannya, dicadangkan untuk memilih nama yang natural dan uniseks agar tidak menimbulkan kekeliruan atau rasa malu terhadap individu tersebut apabila namanya tidak sama dengan jantinanya suatu hari nanti.
Bagaimanapun, sekiranya ingin memilih nama tertentu yang cenderung kepada jantina tertentu kerana tanda-tanda yang ditunjukkan, maka hukumnya adalah harus dan dibolehkan.














