SELEPAS tiga bulan sunyi tanpa sebarang perkembangan, status Peter Cklamovski selaku ketua jurulatih Harimau Malaya terjawab apabila menamatkan kontraknya secara persetujuan bersama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kelmarin.
Menerusi satu kenyataan semalam, pengendali kelahiran Australia itu mahu semua pihak memahami keputusan yang diambil walaupun mengejut kerana mahu mencari pengalaman baharu.
Kata Clamovski, bola sepak Malaysia memiliki potensi yang cukup besar untuk terus berkembang dengan sokongan luar biasa daripada penyokong serta bakat pemain yang dimiliki negara.
“Hari ini saya mengumumkan pemergian saya sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas sokongan yang diberikan dan kerana memahami bahawa sudah tiba masanya untuk saya menyahut cabaran baharu.
“Bola sepak Malaysia mempunyai potensi yang luar biasa. Semangat penyokong, bakat para pemain dan kecintaan terhadap sukan ini adalah sesuatu yang perlu sentiasa dipelihara.
“Harapan saya agar bola sepak Malaysia terus berkembang dengan setiap keputusan dibuat berdasarkan kepentingan terbaik untuk sukan ini, para pemain dan masa depan negara,” kata Cklamovski.
Sementara itu, FAM dalam satu kenyataan berasingan mengesahkan kontrak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pasukan Kebangsaan, Rob Friend turut ditamatkan berkuat kuasa pada 1 Jun 2026.
“Selain Cklamovski dan Friend, dua staf teknikal skuad senior, Matthew Smith serta Seiya Imazaki juga ditamatkan atas persetujuan bersama sejak 16 Jun.
“FAM juga ingin memaklumkan bahawa kontrak Ketua Jurulatih skuad B-23 negara, Nafuzi Zain dan jurulatih penjaga gol, Mohd Yazid Mohd Yassin turut ditamatkan atas persetujuan bersama (15 Jun).
“FAM menghormati keputusan yang dibuat dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala jasa, komitmen serta sumbangan yang telah dicurahkan mereka sepanjang tempoh perkhidmatan bersama pasukan kebangsaan,” katanya.
FAM selaku badan induk bola sepak negara mendedahkan sedang mengambil langkah-langkah yang sewajarnya berhubung pengisian jawatan-jawatan berkenaan dan akan mengumumkan pengganti dalam masa terdekat.
Situasi ini memberi tamparan hebat buat skuad kebangsaan yang bakal mengharungi kejohanan Piala AFF pada Julai depan dan Piala ASEAN FIFA, September nanti.














