fbpx
SUNGIP dan isterinya, Siti Fairuz menyiram air bunga rampai ke atas pusara Allahyarhamah Siti Khadijah yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Sri Lambat, Kluang hari ini. FOTO ADNAN IBRAHIM/KOSMO!

‘Siti Khadijah satu-satunya anak yang masuk tentera’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLUANG – Pemergian anak bongsu daripada tujuh adik beradik selepas maut dalam latihan membaling bom di Lapang Sasar Gurun Kem Hobart di Kedah semalam diterima dengan penuh reda oleh keluarga perajurit wanita itu.

Sungip Jais, 65, yang juga ayah kepada Siti Khadijah berkata, anaknya mula memasuki bidang ketenteraan pada 18 Julai 2025 sebelum ditempatkan di 1 Skuadron Rejimen Askar Jurutera DiRaja (RAJD) di Kamunting, Perak selepas tamat latihan perajurit muda selama enam bulan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di Port Dickson Negeri Sembilan.

Jelasnya, anaknya itu kali terakhir balik bersama keluarga pada Hari Raya Aidil Adha lalu sebelum menyambung tugas pasukan dan memaklumkan terlibat dalam latihan asas ketenteraan dan latihan membaling bom semalam.

Katanya, Siti Khadijah adalah satu-satunya anaknya yang menuruti jejak langkahnya sebagai anggota tentera dan ia adalah satu kebanggaan kepada keluarga.

“Kami sekeluarga reda dengan kepergiannya menghadap penciptaNya, walaupun perginya meninggalkan keluarga sebelum ini untuk berkhidmat kepada negara namun pulang dengan balutan bendera Jalur Gemilang.

“Terima kasih kepada semua pihak yang telah sama-sama membantu daripada awal kejadian hingga selamat dikebumikan hari ini,”katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Taman Sri Lambak, Kluang hari ini.

Sebelum itu, jenazah anggota tentera, Prebet Siti Khadijah Sugip, 24, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Sri Lambak, di sini, pada 1.15 tengah hari tadi, mengikut istiadat ketenteraan bagi menghargai jasa dalam pasukan keselamatan.

Jenazah Allahyarhamah tiba di kediaman ibu bapanya di Taman Sri Lambak pada 12.10 tengah hari sebelum dibawa ke Masjid Nurul Iman untuk disolatkan dan diimamkan oleh Mejar Mohd Azlan Shah Abdul Razak, dari Institut Kejuruteraan Medan (IKM) Tentera Darat (TDM).-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN