PETALING JAYA – Seramai 10 anggota tentera dilaporkan terkorban akibat letupan bom ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Kem Horbart, Gurun, Kedah sebelum ini.
Menerusi Penyata Rasmi Parlimen bertarikh 1 November 1988, tragedi tersebut membabitkan dua kejadian yang berlaku pada 1987 dan 1988.
Dalam kejadian pertama yang berlaku pada 9 Julai 1987, seramai sembilan orang anggota tentera dari Batalion Ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) telah terkorban.
Hasil siasatan mendapati kemalangan tersebut berpunca dari kelalaian dan kecuaian seorang
anggota tentera kerana tidak mematuhi peraturan-peraturan tertentu semasa mengendalikan bom-bom yang tidak meletup.
Dalam pada itu, kejadian kedua yang berlaku pada 13 Julai 1988 telah mengorbankan seorang anggota tentera dari Batalion Ke-10 RAMD.
Kemalangan terbabit dipercayai berpunca daripada bom lama yang tertanam dan telah meletup semasa anggota tersebut bersama anggota-anggota yang lain menunggu giliran untuk latihan menembak lorong hutan.
Sehubungan itu, kegunaan Lapang Sasar lorong hutan di kem tersebut telah dibekukan daripada sebarang latihan untuk siasatan menyeluruh bagi menentukan aspek-aspek keselamatan.
Difahamkan, kemalangan akibat letupan bom yang berlaku semasa anggota tentera menjalani latihan tidak pernah melibatkan orang-orang awam.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan dua anggota tentera maut ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Kem Hobart, Gurun, semalam.
Insiden kira-kira pukul 10.57 pagi itu berlaku semasa Latihan Membaling Grenad dalam Latihan Peningkatan Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), Divisyen Kedua Infantri Malaysia.
Koperal Norazmi Abu Bakar, 40, daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Prebet Siti Khadijah Sungip, 21, disahkan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah pada badan. – KOSMO! ONLINE














