PETALING JAYA – Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin, 53, dilaporkan meninggal dunia, awal pagi tadi.
Menerusi hantaran di Facebook Polis Daerah Tawau, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tawau kira-kira pukul 2.04 pagi.
“Marilah kita bersama-sama kita mendoakan agar Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham, melimpahkan rahmat ke atas rohnya serta menempatkannya dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh,” katanya hari ini.
Untuk rekod, Allahyarham berkhidmat sebagai Ketua Polis Daerah Tawau sejak Mac 2022 dan merupakan anak jati Tawau, Sabah.
Beliau sebelum itu pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Sabah. – KOSMO! ONLINE














