JAKARTA – Tindakan seorang jiran tergamak mencuri bekalan elektrik dari rumah bersebelahan selama lima tahun terbongkar, manakala perkara tersebut tular di media sosial, lapor portal berita Lambe Turah.
Dalam satu hantaran di laman sosial, kelihatan pemilik rumah membuat pemeriksaan dengan pihak PLN (syarikat bekalan elektrik) dan mendapati terdapat aliran elektrik yang disambung ke rumah jirannya itu.
“Jiran kantoi curi elektrik di rumah saya dari bulan April 2021 dan baru dikesan pada 15 Jun 2026,” tulis mangsa dalam hantaran tular itu.
Menurut mangsa, petugas PLN yang hadir bersama-sama ketua kejiranan telah melakukan siasatan terperinci di lokasi kejadian.
“Selepas diperiksa semula oleh PLN, memang sah ada kabel elektrik rumah saya yang ditebuk menembusi dinding dan disambung terus ke rumah dia.
“Dari dalam rumah dia pula, ada taktik lain yang dibuat untuk menyembunyikan arus elektrik, sebab itulah sepanjang lima tahun ini saya langsung tidak perasan elektrik rumah saya dicuri,” jelas mangsa.- AGENSI














