PETALING JAYA – Terlalu mudah terpesong, penyanyi Sufian Suhaimi mengakui dia tidak menggalakkan mana-mana ahli keluarga, terutama anak sendiri untuk menceburi dunia hiburan.
Ujar Sufian atau nama sebenarnya Muhammad Sufian Mohd. Suhaimi, 34, bidang tersebut sarat dengan cabaran sehingga mampu menguji prinsip serta pegangan seseorang.
“Aku tak syorkan anak aku jadi penyanyi. Tak payahlah, bahaya industri hiburan. Terlalu mudah untuk kau tergelincir.
“Walaupun ilmu agama tinggi, masih susah dan apabila berada dalam suasana itu, mesti punya akan tergelincir,” katanya dalam sebuah program audio siar.
Pelantun lagu Di Matamu itu turut berpandangan minat terhadap muzik tidak semestinya perlu diterjemahkan sebagai kerjaya tetap.
“Nak minat muzik boleh, tapi bagi aku tak perlu jadikan minat itu sebagai sumber pendapatan.
“Bila kau berada dalam industri hiburan, kau akan buat perkara untuk menghiburkan sahaja. Kawan-kawan pun berubah.
“Perkara yang kau rasa tak akan buat sebelum ini, akhirnya kau buat juga sebab kau rasa normal kerana semua orang buat ketika itu,” ujarnya.
Kenyataan tersebut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, khususnya dalam kalangan peminat hiburan tanah air.
“Masuk industri ini memang kena kuat iman, bukan semua orang mampu.
“Betul apa Sufian cakap, ramai tersasar sebab persekitaran.
“Tapi kalau ada disiplin dan pegangan kuat, masih boleh berjaya,” komen netizen.
Namun, terdapat juga segelintir pihak berpendapat setiap individu mempunyai pilihan sendiri dalam menentukan hala tuju hidup, termasuk kerjaya dalam bidang seni.
Untuk rekod, Sufian mendirikan rumah tangga bersama seorang peguam, Rania Al Sadat pada 2 Mei 2025.
Pasangan itu turut dikurniakan cahaya mata sulung perempuan bernama Sumayyah Rose pada 24 April lalu, sekali gus melengkapkan fasa baharu kehidupan sebagai suami dan bapa. – KOSMO! ONLINE














