PETALING JAYA – Seorang pengguna Facebook tampil menggesa rakyat Malaysia menghentikan sikap prejudis dan kebencian terhadap komuniti Rohingya dengan mendakwa golongan itu sering berdepan pelbagai kesukaran untuk meneruskan kehidupan di negara ini.
Menerusi satu hantaran yang tular di media sosial, individu berkenaan mendakwa masyarakat Rohingya berdepan pelbagai kekangan termasuk dalam aspek pekerjaan, perniagaan, pendidikan dan tempat tinggal.
Menurutnya, tindakan segelintir pihak yang gemar merakam serta menularkan video melibatkan warga Rohingya hanya akan menambahkan kesukaran yang dihadapi oleh komuniti tersebut.
“Berniaga tak boleh, kerja tak boleh, minta sedekah tak boleh, buat sekolah tak boleh, buat rumah tak boleh.
“Suka sangat rakam dan viralkan, menyulitkan lagi kehidupan mereka,” katanya.
Individu itu turut berpandangan bahawa keadaan tersebut menyebabkan sebahagian daripada masyarakat Rohingya terpaksa memilih jalan yang salah untuk meneruskan kehidupan sehingga akhirnya dipandang serong oleh rakyat Malaysia.
Dalam masa sama, pengguna tersebut mempersoalkan persepsi negatif yang sering dikaitkan dengan etnik Rohingya dan mengingatkan orang ramai supaya tidak menilai keseluruhan komuniti berdasarkan tindakan segelintir individu.
“Bukan semua daripada mereka yang tidak elok perangai, ramai lagi yang baik dan elok perangainya. Stop (henti) jadi racist (rasis). Jangan tunjuk sangat kebencian itu. Malu,” katanya.
“Letak diri kita di tempat mereka, keluarlah mengembara. Anda akan lebih faham. Kita bertuah kerana Allah tetapkan kita dilahirkan dan menjadi rakyat Malaysia,” ujarnya.
Hantaran tersebut menerima pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial dengan ada yang bersetuju bahawa pelarian wajar diberikan layanan berperikemanusiaan, manakala sebahagian lain berpendapat isu keselamatan dan pematuhan undang-undang juga perlu diberi perhatian.
“Status pelarian, memang tak boleh bekerja dan berniaga. Kita mana boleh biar mereka minta sedekah. Nanti kita nampak lemah senang-senang biarkan lagi ramai puak hanyut ini datang Malaysia.
“Buat rumah pun tak boleh sebab sepatutnya mereka ini ditempatkan di satu tempat terkawal. Kita tak nak mereka selesa lama-lama di sini. Mereka guna kita punya kemudahan (macam apa yang berlaku di hospital), sedangkan yang bayar cukai itu rakyat Malaysia,” jelas Mazlina.
Seorang pengguna, Tasnim, mendakwa pandangannya terhadap golongan tersebut berubah selepas enam tahun bekerja di sebuah pusat bersalin yang sering menerima pesakit Rohingya.
“Maaf sis, dulu mungkin saya pun sependapat. Tapi lepas enam tahun kerja di pusat bersalin yang jadi tumpuan puak Rohingya ini, hari-hari berurusan dengan mereka.
“Apa yang saya boleh rumuskan, kebanyakannya suka meminta atau berhutang walaupun mempunyai wang, kurang beradab dan tidak menjaga kebersihan,” dakwanya.
“Kadang lebih baik diam daripada buat hantaran yang akhirnya orang tahu tahap pemikiran kita level mana je,” perli Sue Riyani. – KOSMO! ONLINE














