SEGAMAT – Kementerian Pertahanan (MINDEF) terus memperkukuh kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi pembangunan infrastruktur ketenteraan moden dan pelbagai inisiatif kebajikan bagi memastikan anggota dapat melaksanakan tugas mempertahankan kedaulatan negara dengan lebih berkesan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, aspek kesiapsiagaan ATM tidak hanya tertumpu kepada pemilikan aset dan kelengkapan pertahanan, malah turut melibatkan kesejahteraan anggota serta keluarga.
“Dalam soal menjaga pertahanan negara, kita perlu melihat kepada dua perkara utama iaitu aset dan anggota. Kedua-duanya perlu sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi.
“Namun pada masa sama, kesejahteraan anggota juga perlu diberikan perhatian kerana jika mereka berdepan pelbagai masalah kehidupan, ia boleh menjejaskan tumpuan dan ketenangan ketika menjalankan tugas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan Lawatan Kerja ke Rejimen ke-4 Artileri DiRaja Kem Segamat di sini semalam.

Hadir sama ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman; Setiausaha Bahagian Pembangunan MINDEF, Hassan Nordin dan Panglima 3 Divisyen, Mejar Jenaral Sani S. Omar.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, kerajaan telah memperuntukkan keseluruhan RM259 juta bagi pembangunan Kem Segamat, dengan Fasa 2 melibatkan kos RM65.7 juta yang siap dibina pada tahun lalu.
Katanya, kem berkenaan yang dipindahkan dari Sikamat, Negeri Sembilan ke Segamat memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan pertahanan di wilayah selatan tanah air.
Sementara itu, beliau berkata, kementerian turut melaksanakan Program Work Based Learning (WBL) bagi membantu anggota yang bakal bersara memperoleh pengiktirafan akademik berdasarkan pengalaman dan kemahiran sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
“Ramai anggota menyertai ATM dengan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan apabila bersara pada usia awal 40-an, mereka masih mampu menyumbang kepada negara.
“Melalui WBL, pengalaman dan kemahiran yang dimiliki akan dinilai oleh Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sebelum diberikan pengiktirafan setaraf diploma tanpa perlu menduduki peperiksaan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan menanggung kos penilaian sebanyak RM6,500 bagi setiap peserta dengan peruntukan RM10 juta disediakan tahun ini bagi menjayakan program tersebut melibatkan 1,300 anggota.
Tambah beliau, pendekatan itu bertujuan meningkatkan kebolehpasaran anggota selepas tamat perkhidmatan selain mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kebajikan. Kita mahu mereka terus hidup bermaruah selepas bersara kerana mereka telah banyak berkorban demi negara,” katanya. -KOSMO! ONLINE














