PETALING JAYA – Orang ramai sanggup berpanas dan berpeluh sambil beratur panjang bagi menghadiri sesi temu duga sebuah kilang mikroelektronik di Batu Berendam, Melaka yang diadakan di sebuah hotel pada pagi tadi.
Menerusi pelbagai hantaran dan video tular di Thread memperlihatkan, mereka beratur panjang dari hotel berkenaan hingga ke jalan besar dan difahamkan, jawatan kosong ditawarkan kilang itu ialah operator mesin dan juruteknik.
Ada yang mendakwa, mereka beratur di hotel tersebut seawal pukul 5 pagi bagi mengelakkan terlepas peluang untuk sesi temu duga berkenaan.
Panjang barisan beratur tersebut mungkin boleh dianggarkan hampir dua kilometer (km) dan kelihatan ada yang terpaksa duduk di tepi jalan dipercayai tidak tahan berdiri terlalu lama.
Dalam masa sama, pihak kilang berkenaan dipercayai meminta mereka yang beratur panjang untuk mengimbas kod QR bagi pendaftaran temu duga didakwa ekoran kehadiran calon terlalu ramai.
Sementara itu, pengguna media sosial turut memberikan pelbagai maklum balas termasuk ada yang berkongsi hadir beratur beramai-ramai pada pagi tadi.
“Eh berdebarnya, ya Allah semoga semua dapat masuk (kerja). Permudah urusan mereka,” kongsi pengguna Thread Tiyraaa yang turut memuat naik gambar beratur di pekarangan hotel berkenaan.
“Semoga berjaya semua yang pergi interviu. Rezeki saya di kilang itu sampai bulan Mac hari tu je, perit tapi perlu berdamai degan takdir. Semoga dipermudah urusan kalian semua,” komen pengguna Thread Suhadahminhat.
“Masya-Allah ramai sepanjang-panjang anak-anak muda beratur semata-mata temu duga nak cari kerja kat kilang. Dari dalam hotel beratur sampai tepi jalan, penuh berderet dengan panasnya. Semoga berjaya, moga berhasil penat lelah jauh-jauh datang tu, amin,” komen Zuwaabobok yang turut memuat naik video keadaan orang ramai beratur.
“Ada suami, ada isteri, ada anak, ada abang, ada kakak yang sedang berjuang. Semoga ada rezeki mereka hari ini. Yang komen cakap nombor 100 ke atas tu dah boleh balik kita tak tahu rezeki mereka. Mana tahu yang nombor 100 ke abawah tu tak ada memenuhi kriteria ke?,” komen Nurraudhah. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














