fbpx
Gambar hiasan.

Kesuma perhebat intervensi bantu pekerja terjejas kehilangan kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) memperluaskan pelbagai inisiatif pekerjaan dan peningkatan kemahiran bagi membantu pekerja yang terkesan akibat kehilangan pekerjaan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, langkah itu dipergiat susulan peningkatan kes kehilangan pekerjaan (Loss of Employment atau LOE) yang direkodkan dalam beberapa sektor ekonomi sepanjang lima bulan pertama tahun ini.

Beliau berkata, seramai 38,953 individu direkodkan mengalami kehilangan pekerjaan bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 berdasarkan statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

“Analisis menunjukkan sebahagian besar kes melibatkan pekerja berumur antara 25 hingga 39 tahun. Mengikut jantina, lelaki mencatatkan 23,536 kes atau 60.4 peratus, manakala wanita merekodkan 15,417 kes atau 39.6 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kehilangan pekerjaan sepanjang tempoh tersebut tertumpu dalam beberapa sektor utama ekonomi khususnya pembuatan, perdagangan borong dan runcit serta pembaikan kenderaan bermotor, selain aktiviti pentadbiran dan khidmat sokongan.

Katanya, keadaan itu sebahagian besarnya dipengaruhi oleh langkah penstrukturan semula organisasi dan pelarasan operasi perniagaan yang dilaksanakan syarikat bagi menyesuaikan diri dengan persekitaran ekonomi semasa.

Bagaimanapun, Ramanan menegaskan pasaran buruh Malaysia masih berada pada landasan kukuh meskipun berdepan cabaran ekonomi dan geopolitik global.

“Pada April 2026, jumlah tenaga buruh negara mencecah 17.33 juta orang dengan kadar pengangguran kekal rendah pada 3.0 peratus.

“Kadar penyertaan tenaga buruh pula berada pada 70.9 peratus, merangkumi 82.9 peratus bagi lelaki dan 57.3 peratus bagi wanita. Prestasi ini mencerminkan asas pasaran buruh yang masih stabil dan berdaya tahan,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, pekerja digalakkan memanfaatkan platform seperti Labour Market Exchange (LMX) dan MYFutureJobs Galaxy untuk mendapatkan maklumat pasaran buruh yang lebih komprehensif serta merancang laluan kerjaya bersesuaian.

“Bagi memastikan pekerja yang terjejas mendapat sokongan menyeluruh, Kesuma melaksanakan pelbagai inisiatif berteraskan tiga fokus utama iaitu peralihan kerjaya dan sokongan pekerjaan, program peningkatan kemahiran (reskilling dan upskilling) serta intervensi awal bagi sektor kritikal.

“Usaha ini bertujuan membantu pekerja menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran, meningkatkan kebolehpasaran dan memperkukuh daya saing mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN