NEW YORK – Seperti dijangka, aksi melibatkan Brazil menentang Maghribi seperti ‘buku dengan ruas’ selepas kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 pada aksi pertama Kumpulan C di Stadium MetLife, sebentar tadi,
Pertembungan dua pasukan pilihan yang berada dalam kelompok 10 negara terbaik dunia itu tidak menghampakan apabila kedua-duanya mempamerkan kualiti tinggi serta mencipta pelbagai peluang sepanjang 90 minit permainan.
Maghribi terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Ismael Saibari pada minit ke-22 untuk menewaskan penjaga gol Selecao, Alisson Becker.
Wakil Afrika itu tampil lebih meyakinkan pada fasa awal permainan dengan berjaya mengekang kreativiti barisan serangan Brazil selain mengancam lawan menerusi beberapa serangan pantas.
Namun, Brazil tidak mengambil masa lama untuk bangkit apabila bintang utama mereka, Vinicius Junior menghasilkan jaringan berkualiti pada minit ke-32.
Pemain Real Madrid itu melepaskan rembatan lencong cantik yang gagal dicapai penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou untuk mengikat kedudukan 1-1.
Bersambung pada babak kedua, pengendali Brazil membuat rombakan dengan memasukkan pemain seperti Danilo, Fabinho, Matheus Cunha dan Luiz Henrique dalam misi meraih tiga mata penuh.
Brazil meraih peluang keemasan pada minit ke-84 apabila Raphinha memiliki peluang tetapi percubaan pemain Barcelona itu tepat ke arah penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou yang bertindak cemerlang menyelamatkan keadaan.
Ketika perlawanan memasuki masa kecederaan, Maghribi pula hampir mengejutkan Brazil menerusi rembatan jarak jauh Neil El Aynaoui tetapi berjaya ditepis Allison dengan keputusan 1-1 kekal hingga wisel penamat. – AGENSI














