PETALING JAYA – Malaysia memerlukan mekanisme pengawalan yang lebih tersusun terhadap pelarian Rohingya bagi mengelakkan pelbagai isu sosial dan beban terhadap kemudahan awam menjadi semakin serius pada masa hadapan.
Pakar Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Salawati Mat Basir berkata, kegagalan mewujudkan sistem pengurusan dan pemantauan yang berkesan sejak awal menyebabkan pelbagai cabaran timbul termasuk melibatkan aspek kesihatan, pendidikan dan penempatan.
Menurut beliau, golongan pelarian merupakan manusia biasa yang memerlukan tempat tinggal, pekerjaan serta kemudahan asas untuk meneruskan kehidupan.
“Apabila mereka masuk ke negara ini, mereka perlu makan, berkeluarga dan membesarkan anak-anak. Masalahnya, kita tidak mempunyai mekanisme pengawalan yang benar-benar berkesan.
“Dari dahulu lagi pelbagai cadangan telah dikemukakan, namun banyak yang tidak dilaksanakan. Akibatnya, jumlah mereka terus bertambah dan tekanan terhadap kemudahan awam semakin dirasai,” katanya dalam satu audio siar (podcast).
Beliau berkata, antara isu yang sering dibangkitkan rakyat ialah penggunaan kemudahan hospital kerajaan yang turut melibatkan kos tinggi kepada negara.
Katanya, berdasarkan laporan yang pernah dirujuk, kerajaan dianggarkan menanggung sekitar RM30 juta setahun bagi kos rawatan dan perkhidmatan kesihatan melibatkan pelarian.
“RM30 juta itu bukan jumlah yang kecil. Ia datang daripada hasil cukai rakyat Malaysia.
“Apabila rakyat melihat kemudahan hospital yang sedia ada terpaksa dikongsi dengan jumlah pelarian yang semakin ramai, sudah tentu timbul rasa tidak puas hati,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan perlu mempunyai data yang lebih teratur mengenai jumlah sebenar pelarian, lokasi penempatan mereka serta perancangan jangka panjang bagi menguruskan komuniti tersebut.
“Kalau tiada pengawalan yang sistematik, jumlah mereka akan terus meningkat dari semasa ke semasa dan isu ini akan menjadi semakin kompleks untuk ditangani,” katanya. – KOSMO! ONLINE














