LOS ANGELES – Amerika Syarikat (AS) memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan penuh bergaya apabila mencatat kemenangan meyakinkan 4-1 ke atas Paraguay sambil melakar sejarah baharu di depan lebih 70,000 penyokong dalam aksi Kumpulan D di Stadium Los Angeles, sebentar tadi.
Lebih menarik, Skuad tuan rumah mencipta rekod apabila menjaringkan empat gol dalam satu perlawanan Piala Dunia buat kali pertama, sekali gus melaungkan amaran awal dalam usaha untuk melangkah jauh pada kempen kali ini.
Sorakan penyokong bergema seawal minit ke-8 apabila AS membuka tirai jaringan hasil gol sendiri pemain Paraguay, Damian Bobadilla.
Jaringan itu tercetus daripada gerakan cemerlang Christian Pulisic yang memperdayakan dua pertahanan sebelum hantaran lintang Weston McKennie tertampan Bobadilla ke dalam gawang sendiri.
Skuad The Yanks terus menguasai permainan dan menggandakan kelebihan menerusi Folarin Balogun selepas menyudahkan hantaran Pulisic pada minit ke-32.
Penyerang AS Monaco sekali lagi mencuri tumpuan apabila meledak gol kedua peribadinya pada masa kecederaan babak pertama untuk memastikan tuan rumah semakin selesa dengan kedudukan 3-0.
Paraguay cuba bangkit pada separuh masa kedua dan berjaya merapatkan jurang menerusi pemain gantian, Mauricio pada minit ke-73 selepas menerima hantaran Julio Enciso hasil serangan balas pantas
Bagaimanapun, harapan Paraguay untuk melengkapkan kebangkitan tidak kesampaian apabila AS meraih gol keempat hasil penyudah dramatik Giovanni Reyna sebelum wisel penamat ditiupkan. – AGENSI














