PETALING JAYA – Bukan lagi motosikal, geran tanah atau barang kemas dijadikan cagaran, sebaliknya sindiket along kini semakin licik apabila menawarkan syarat mudah kepada peminjam iaitu hanya perlu menyerahkan identiti digital berupa Apple ID sebelum mendapatkan wang tunai segera.
Modus operandi itu dikesan semakin aktif digunakan oleh pemberi pinjaman wang tidak berlesen melalui media sosial seperti Facebook serta beberapa aplikasi lain dengan menyasarkan individu yang terdesak memerlukan bantuan kewangan.
Ketua Unit Banteras Along Pusat Pengajian Al-Quran dan Fardu Ain, Darul Muttaqim (DM), Adam Mustapa berkata, pihaknya menerima hampir 50 aduan berkaitan taktik berkenaan sejak kebelakangan ini, sekali gus menunjukkan trend tersebut semakin membimbangkan.
Menurutnya, kebanyakan mangsa tidak menyedari risiko besar yang bakal ditanggung kerana menganggap menyerahkan Apple ID hanyalah prosedur biasa bagi membolehkan pinjaman diluluskan dengan cepat.
“Ramai tidak sedar tindakan itu sebenarnya memberi akses penuh kepada sindiket terhadap peranti mereka.
“Mangsa akan diminta mengeluarkan Apple ID peribadi daripada telefon sebelum memasukkan Apple ID milik sindiket sebagai syarat untuk mendapatkan pinjaman. Pada ketika itu, mereka sudah kehilangan kawalan terhadap peranti sendiri,” katanya baru-baru ini.
Adam berkata, kegagalan membayar semula pinjaman mengikut tempoh ditetapkan boleh menyebabkan sindiket bertindak mengunci iCloud mangsa, sekali gus menjadikan telefon berkenaan tidak lagi boleh digunakan oleh pemilik asal.

Katanya, ada mangsa yang bukan sahaja kehilangan akses kepada telefon bimbit, malah terpaksa menanggung kerugian apabila peranti yang dibeli dengan harga ribuan ringgit bertukar menjadi tidak bernilai.
“Lebih membimbangkan, tindakan menyerahkan akses tersebut boleh membuka ruang kepada pelbagai bentuk penyalahgunaan data peribadi.
“Pihak sindiket berpotensi mengakses maklumat sensitif termasuk gambar, lokasi semasa serta senarai kenalan mangsa tanpa disedari,” ujarnya.
Menurut beliau, gambar mangsa boleh disunting dan disalahgunakan bagi tujuan ugutan, manakala nombor telefon dalam senarai kenalan pula boleh dihubungi untuk menekan mangsa berhubung hutang tertunggak.
“Malah, lokasi mangsa juga boleh dijejak melalui fungsi Find My iPhone yang berada di bawah kawalan sindiket selepas Apple ID mereka dimasukkan ke dalam peranti berkenaan.
“Ini bukan lagi sekadar isu hutang. Ia melibatkan keselamatan digital, privasi dan maruah mangsa yang boleh dieksploitasi bila-bila masa,” katanya.
Tambah Adam, golongan muda terutama pelajar institusi pengajian tinggi menjadi kumpulan paling mudah menjadi sasaran kerana ramai yang berdepan tekanan kewangan serta kurang pendedahan mengenai ancaman keselamatan siber.
Beliau berkata, antara kes yang diterima pihak DM Perunding Along melibatkan seorang pelajar IPTA lelaki berusia 21 tahun yang menggunakan iPhone 14 Pro Max sebagai cagaran untuk mendapatkan pinjaman segera.

“Turut menerima aduan daripada seorang pelajar perempuan berusia 22 tahun dari sebuah IPTS di Sarawak serta seorang wanita berusia 30 tahun yang bekerja sebagai khidmat pelanggan di sebuah syarikat telekomunikasi.
“Mereka hanya menyedari tertipu selepas gagal menjelaskan bayaran pinjaman dan telefon masing-masing dikunci dari jarak jauh oleh sindiket,” katanya.
Menurut Adam, kebanyakan mangsa terpedaya kerana beranggapan pinjaman sedemikian lebih selamat memandangkan tiada cagaran fizikal seperti motosikal, barang kemas atau dokumen penting diperlukan.
“Hakikatnya, apabila identiti digital dan akses telefon diserahkan kepada pihak ketiga, risiko keselamatan menjadi sangat tinggi. Ramai hanya sedar selepas mereka mula diugut, dipermalukan atau telefon mereka tidak boleh digunakan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan tawaran pinjaman segera yang diiklankan menerusi media sosial, lebih-lebih lagi yang mengenakan syarat tidak munasabah seperti menyerahkan akses kepada peranti peribadi.













