PETALING JAYA – Sebuah masjid di Subang Jaya mencuri perhatian netizen apabila tampil dengan pendekatan unik menggabungkan siaran langsung Piala Dunia FIFA 2026 dan aktiviti qiamullail bagi mengimarahkan rumah ibadah itu pada waktu tengah malam hingga awal pagi.
Perkongsian mengenai program tersebut dimuat naik menerusi akaun Threads @Masjidalfalahusj9 yang mengajak orang ramai hadir ke Masjid Al-Falah USJ 9 untuk menonton perlawanan bola sepak bermula pukul 3 pagi sambil menghidupkan malam dengan ibadah.
Pihak masjid memaklumkan program berkenaan bertujuan menarik minat masyarakat khususnya golongan belia dan peminat bola sepak untuk hadir ke masjid dalam suasana yang lebih santai, namun tetap berteraskan pengisian rohani.
Menurut hantaran itu, pengunjung bukan sahaja dapat menyaksikan aksi Piala Dunia secara langsung, malah turut berpeluang menyertai qiamullail dan solat berjemaah.
“Perlawanan menarik, suasana padu. Ibadah jalan, hati pun tenang.
“Bukan sekadar tengok bola, kita jadikan malam ini lebih bermakna bersama-sama di rumah Allah,” katanya.
Selain itu, pihak masjid turut menyediakan makanan dan minuman ringan secara percuma kepada semua pengunjung yang hadir.
Program tersebut telah dimulakan menerusi tayangan perlawanan Mexico menentang Afrika Selatan yang berlangsung pada Jumaat lalu.
Tayangan siaran langsung itu akan diteruskan sepanjang hujung minggu ini membabitkan aksi Kanada menentang Bosnia pada Sabtu dan Qatar berdepan Switzerland pada Ahad, masing-masing pada pukul 3 pagi.
Dalam masa sama, pihak masjid mengingatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga adab dan menghormati suasana masjid walaupun berada dalam keterujaan menyaksikan perlawanan bola sepak. – KOSMO! ONLINE














