fbpx
JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang (kanan) bersaing bersama Akmal dalam acara akhir pecut pada Kejohanan Trek Kebangsaan Velodrom Nasional Nilai di sini hari ini. -FARIZ RUSADIO

Azizulhasni kagum pecutan Akmal Nazimi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NILAI – Jaguh negara, Datuk Azizulhasni Awang mengakui kagum dengan peningkatan mendadak dipamerkan pelumba muda, Akmal Nazimi Jusena sehingga menyifatkan antara prospek terbaik skuad berbasikal negara pada masa depan.

Selepas menewaskan pelumba Johor itu 2-0 pada final acara pecut individu pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan di Velodrom Nasional, hari ini, Azizulhasni percaya Akmal mempunyai potensi besar untuk muncul antara pelumba pecut terbaik negara.

Jaguh berusia 38 tahun itu berkata, kejayaan Akmal mara ke final selain memecahkan catatan bawah 10 saat dalam acara pecut adalah pencapaian yang cukup membanggakan.

Menurutnya, pencapaian itu bukan sesuatu yang mudah dilakukan, malah boleh diibaratkan seperti pelari pecut memecahkan halangan 10 saat dalam acara 100 meter.

“Saya sangat bangga dengan Along (Akmal). Memecahkan catatan bawah 10 saat bukan mudah. Orang yang tidak faham sukan ini mungkin tidak sedar betapa besarnya pencapaian itu.

“Ia menunjukkan perkembangan yang sangat baik dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini dan saya gembira melihat kemajuannya,” katanya.

Bekas juara dunia itu berkata, peningkatan yang ditunjukkan Akmal bukanlah satu kejutan kerana dia sendiri menyaksikan kesungguhan pelumba muda berkenaan dalam setiap sesi latihan.

“Saya selalu nampak dia datang awal ke gimnasium dan velodrom. Dia ubah rutin serta cara berfikir dan sentiasa memberikan 110 peratus ketika latihan.

“Sebab itu saya tidak terkejut dengan prestasinya sekarang. Saya memang menjangkakan dia akan meningkat dan mampu memberi saingan yang lebih hebat,” katanya.

Malah, Azizulhasni percaya Akmal memiliki segala ramuan untuk muncul sebagai pelumba pecut terbaik negara sekiranya terus mengekalkan disiplin serta komitmen yang sama pada masa depan.

Sementara itu, mengulas harapan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu melihatnya terus beraksi hingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28), Azizulhasni menegaskan mahu memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Sukan Komanwel 2026 di Glasgow serta Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya.

“Saya ambil pendekatan selangkah demi selangkah. Kita boleh merancang, tetapi Allah sebaik-baik perancang. Saya tidak mahu memberi janji terlalu awal. Kita lihat dahulu perkembangan dan prestasi semasa sebelum membuat keputusan yang lebih besar,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN