REMBAU – Ibu kanak-kanak yang maut selepas dilanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Perodua Aruz dipandu seorang guru di Kilometer 1, Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Legong Ulu, di sini kelmarin meluahkan rasa terkilan apabila individu berkenaan hanya menghantar wakil bagi meminta maaf.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa, Mohammad Fariesh Amany Mohd. Fazly, 9, meninggal dunia di lokasi kejadian susulan kecederaan parah di bahagian kepala.
Ujar ibu mangsa, Nor Azlin Ismail, 42, seharusnya sebagai seorang ibu, cikgu berkenaan memahami rasa kehilangan anak.
“Saya tahu cikgu anak (arwah) yang langgar, ustazah dia yang langgar. Walaupun ustazah dia banyak bagi nasihat kat dia, tapi kenapa ustazah dia tak muncul. Kenapa ustazah sendiri tak datang minta maaf dengan saya?
“Kalau dia betul-betul dia tak bersalah, kenapa nak wakilkan orang lain? Dia pun ada anak, saya ada anak. Kenapa dia tak datang sendiri jumpa saya? Hati seorang ibu, dia pun faham macam mana kehilangan seorang anak,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Legong Ulu, di sini semalam.
Jenazah anak ketujuh daripada lapan beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Batu 2, Kampung Legong Ulu, tengah hari semalam.
Katanya, dia mengetahui kejadian menimpa anaknya selepas menerima panggilan anak saudaranya yang memaklumkan mangsa sudah meninggal dunia.
“Dia selalu pergi ke situ dengan kawan-kawan. Bila dapat berita itu, anak saudara saya telefon beritahu anak saya dah tiada. Saya macam tak percaya sehinggalah dia hantar gambar.
“Sebaik nampak gambar itu, saya terus menjerit. Saya tak boleh cakap apa-apa lagi. Saya hanya fikir nak cari kereta atau motosikal untuk pergi ke lokasi kejadian,” katanya.
Suri rumah itu berkata, setibanya di lokasi, dia hanya mampu melihat keadaan anaknya yang sudah tidak bernyawa dan dalam keadaan meringkuk.
“Saya terkilan kerana kemalangan itu berlaku di kawasan kampung yang sempit dan mempunyai beberapa bonggol jalan yang sepatutnya pemandu memperlahankan kenderaan.
“Ini kawasan kampung dan rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin. Tak boleh bawa laju kerana ramai budak-budak yang akan bermain di luar,” katanya.
Katanya, kali terakhir dia bertemu arwah adalah sebelum kejadian apabila anaknya meminta izin keluar rumah ke PPRT itu yang terletak lebih sekilometer.
“Sebelum pergi, dia sempat makan dan bermain dengan adik. Dia bergurau, banyak senyum dan saya tak nampak apa-apa perubahan pada dirinya,” katanya.
Katanya, dia telah melantik peguam bagi mendapatkan keadilan terhadap kematian anaknya.
Kelmarin, Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Azmi Ali dilaporkan berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, guru perempuan berusia 42 tahun itu memandu seorang diri dari sebuah sekolah berhampiran ke PPRT berkenaan.
“Pemandu SUV itu telah terlanggar pejalan kaki yang berada di jalan dalam kawasan perumahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (1987,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE













