fbpx
Pengebumian arwah berlangsung di Tanah Perkuburan Islam Pasir Pandak di Lekir tengah malam tadi. - IHSAN SAP

Mangsa tikaman dikebumikan di Pasir Pandak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LUMUT – Lelaki yang maut ditikam di Kilometer 12 Jalan Trans Perak, Kampung Gajah semalam dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pasir Pandak, Lekir sekitar pukul 12 tengah malam tadi.

Pengasas Pertubuhan Saham Akhirat Perak Percuma (SAP), Syamsul Hidzir Mohd. Salehuddin, 37, berkata, pihaknya menguruskan mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Fahmi Abdullah, 29, setelah menerima panggilan daripada waris lelaki tersebut.

“Saya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh bagi membantu menguruskan jenazah mangsa. Urusan seperti mengkafankan serta solat jenazah bermula sekitar pukul 10 malam selepas post-mortem selesai dilakukan pihak hospital.

“Antara lima hingga enam waris mangsa membantu dalam urusan mengkafan mangsa sebelum dibawa ke sebuah surau di Pasir Pandak untuk disolatkan sekali lagi,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Syamsul Hidzir berkata, jenazah tiba di surau berkenaan sekitar pukul 11.20 malam sebelum disolatkan oleh ahli keluarga, saudara-mara serta orang ramai.

Katanya, majlis pengebumian mangsa selesai selepas tengah malam.

Menceritakan keadaan jenazah mangsa, dia berkata, mangsa mempunyai satu kesan tikaman di bahagian kanan perutnya.

“Selain itu, saya tidak nampak kesan lain pada tubuhnya,” katanya yang turut memberitahu proses dari awal hingga akhir pengurusan jenazah tersebut berjalan dengan lancar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN