KOTA BHARU – Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang menerima tawaran melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) diminta supaya tidak menolak peluang tersebut meskipun berdepan masalah kewangan.
Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, hal ini kerana terdapat pelbagai agensi, institusi zakat da badan berkaitan di bawah kementerian yang bersedia menghulurkan bantuan.
Katanya, pelajar hanya perlu menerima tawaran dan mendaftar terlebih dahulu sebelum memaklumkan masalah kewangan yang dihadapi kepada pihak universiti.
“Apabila menerima tawaran melanjutkan pelajaran, jangan tolak. Masuk dahulu dan laporkan masalah kewangan kepada pihak universiti, kita akan cuba membantu sedaya mungkin melalui pelbagai saluran yang ada.
“Langkah pertama yang perlu dilakukan oleh pelajar yang berdepan masalah kewangan ialah memaklumkan perkara tersebut kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) di universiti masing-masing bagi membolehkan bantuan disalurkan segera,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutup 19th Malaysia FIRA Cup 2026 Politeknik Kota Bharu, Kok Lanas di sini hari ini.
Aminuddin memberitahu, bantuan yang disediakan antaranya Bantuan Wang Pendahuluan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak RM1,500 sebagai persediaan awal kemasukan ke IPT termasuk bagi pembelian keperluan dan kelengkapan pengajian.
Katanya, selain itu, pelajar yang merupakan anak sulung atau individu pertama dalam keluarga melanjutkan pengajian ke universiti turut berpeluang menikmati pembiayaan yuran pendidikan secara percuma menerusi program yang diperkenalkan kerajaan.
“Bantuan Yayasan Perkasa Siswa sebanyak RM500 turut disediakan selain pelbagai program penajaan khusus untuk golongan B40.
“Bagi membantu mengurangkan kos sara hidup mahasiswa, kerajaan turut melaksanakan inisiatif Dapur Siswa di universiti awam yang membolehkan pelajar memasak secara berkumpulan menggunakan bahan mentah yang disediakan pihak universiti,” ujarnya.
Aminuddin berkata, pelajar juga boleh menyertai program ‘Job on Campus’ yang menawarkan peluang pekerjaan sambilan di dalam kampus seperti mengendalikan kios dan membantu perkhidmatan universiti dengan bayaran gaji yang ditetapkan.
Katanya, kerajaan turut meneruskan bantuan subsidi tiket penerbangan sebanyak RM100 kepada pelajar selain pelbagai bantuan zakat di IPT serta pemberian baucar buku bagi meringankan beban kewangan mahasiswa sepanjang tempoh pengajian. – KOSMO! ONLINE














