KUALA LUMPUR – Seorang pembantu kedai makan didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menghambur kata-kata kesat pada seorang anggota polis.
Majistret Nurul Izzah Hasan Basri menjatuhkan hukuman denda itu selepas tertuduh Muhammad Syarifuddin Abd Latif, 25, mengaku bersalah atas pertuduhan yang didakwa.
Sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda itu dia boleh dipenjara selama sehari dan tertuduh membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menggunakan perkataan kesat terhadap seorang anggota polis berusia 27 tahun dengan tujuan untuk membangkitkan kemarahan di Jalan Dato’ Senu, Sentul di sini pukul 8.24 pagi pada 8 Jun lalu.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100 jika sabit kesalahan.
Terdahulu paguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon mahkamah mengenakan jumlah hukuman minimum dengan alasan tertuduh yang bekerja sebagai pembantu kedai makan menanggung ibu serta bapanya selain memohon maaf atas kesalahan itu.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Nurainizatul Farhana Zainal memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.
Pada 9 Jun lalu, polis menahan seorang lelaki selepas disyaki mengeluarkan kata-kata kesat dan merakam video anggota polis yang sedang menjalankan tugas penguatkuasaan trafik pada 8 Jun.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata semasa tindakan penguatkuasaan, pemilik kenderaan itu menghampiri anggota polis berkenaan, merakam video menggunakan telefon bimbit, melakukan provokasi dan melontarkan kata-kata kesat kerana tidak berpuas hati disaman. – KOSMO! ONLINE














