LUMUT – Penganjuran julung kali Kenduri Rakyat oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Seri Manjung hari ini dimeriahkan dengan kunjungan sekitar 6,000 pengunjung.
Pengarah LKIM Perak, Ahmad Zulkifli Ismail berkata, program tersebut dilaksanakan bagi merapatkat ukhuwah antara pihaknya dengan jabatan-jabatan kerajaan, komuniti nelayan serta orang ramai.
“Bagi menjayakan Kenduri Rakyat ini, kira-kira 200 kakitangan LKIM dan nelayan Perak dari tujuh Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) menggembleng tenaga dan bergotong-royong memasak hidangan istimewa buat orang ramai.
“Sebanyak ekor lembu dimasak untuk juadah disediakan, antaranya sup daging, daging masak kicap, kari daging selain ayam goreng berempah dan air asam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kenduri Rakyat berkenaan dimeriahkan dengan kehadiran Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil serta Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd. Rahman.
Mengulas lanjut, Ahmad Zulkifli berkata, hubungan baik antara nelayan dan orang ramai harus terus dipupuk agar peranan dimainkan komuniti berkenaan dapat difahami 34.4 juta rakyat negara ini.
Sementara itu, beliau menegaskan bahawa pihaknya komited membantu nelayan di negeri ini dengan ia dapat dilihat menerusi penyelesaian beberapa isu membabitkan komuniti berkenaan.
“Ketika ini tiada masalah besar membabitkan nelayan di Perak. Pelbagai isu kita telah selesaikan seperti perumahan nelayan di Pangkor,” katanya. – KOSMO! ONLINE














