BENTONG – Pemandu treler muatan cip yang terbabas dan terbalik di Kilometer 0.5, Jalan Bentong-Karak di sini semalam didapati positif dadah jenis syabu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, ujian saringan air kencing menunjukkan pemandu berusia 37 tahun itu positif methamphetamine.
“Susulan itu siasatan dibuka di bawah Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952. Siasatan masih dijalankan bagi melengkapkan keterangan dan mengenal pasti punca kejadian secara menyeluruh,” katanya hari ini.
Jelasnya, dalam kejadian pada pukul 8.10 pagi itu, treler jenis Scania yang dalam perjalanan dari arah Bentong Makmur ke ibu negara tersebut hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum terbabas dan terbalik.
Walau bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu dan pemandu treler tidak mengalami kecederaan.
Beliau menasihatkan pengguna jalan raya khususnya pemandu kenderaan berat dan perdagangan supaya mematuhi peraturan lalu lintas.
“Pemandu juga perlu memastikan fizikal dan mental berada pada tahap baik sebelum memandu selain menjauhi dadah yang membahayakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














