Ikan tilapia yang hidup di kolam biasanya mudah digoda dengan umpan cacing, cengkerik, pelet ikan, dedak atau roti.
Ikan tilapia yang tinggal di persekitaran semula jadi pula terkenal cerewet apabila ingin makan umpan dihulurkan pemancing.
Bagaimanapun, bagi saya dan rakan-rakan, cabaran memancing ikan tilapia liar ini sangat mengujakan kerana sifat memilihnya itu.
Kami pernah mendengar umpan yang paling efektif untuk memperdaya ikan tilapia liar ini adalah sejenis lumut.
Penggunaan lumut ini sebagai umpan memancing ikan tilapia juga bukanlah perkara baharu.
Namun teknik menggunakannya memerlukan sedikit kemahiran dan kesabaran.
Lumut digunakan ini adalah sejenis lumut halus yang rupanya seperti rambut atau benang basah.
Ia dikenali sebagai hair algae dan boleh ditemui di kawasan air bertakung, longkang yang airnya jernih bersih dan di tepi bendang.
Penyediaan umpan
Lumut rambut ini merupakan salah satu diet semula jadi ikan tilapia di habitatnya.
Selain itu, bau lumut tersebut adalah sesuatu yang bukan asing bagi ikan tilapia, lantas mengurangkan sifat curiganya untuk memakan umpan dihulurkan.
Tekstur lumut ini juga lembut dan apabila berada di dalam air, ia akan mengembang dan beralun mengikut arus.
Ini sekali gus membuatkan ia saling tidak tumpah seperti makanan yang selalu ikan tilapia hadap setiap waktu.
Memasang lumut ini pada mata kail mempunyai caranya yang tersendiri.
Ia tidak boleh dicucuk seperti cacing, roti atau pelet kerana profilnya yang sangat lembut dan mudah hancur.

Sebaiknya, sediakan satu bekas berisi air yang diambil dari kawasan lumut tersebut.
Kemudian, masukkan lumut yang dikutip ke dalam bekas ini untuk mengekalkannya supaya sentiasa segar dan kembang.
Paling penting, sentiasa memastikan lumut berada dalam keadaan lembap dan tidak terdedah terus kepada cahaya matahari terik agar ia tidak mengecut atau mati.
Guna mata kail saiz kecil antara nombor 4 hingga 6 yang sudah siap diikat pada perambut.
Kemudian, celup dan putarkan mata kail di dalam gumpalan lumut sehingga ia melilit kemas.
Biarkan sedikit hujung lumut terjuntai di bawah mata kail untuk mencipta aksi seperti ‘hidup’ di dalam air nanti.
Teknik
Memancing tilapia menggunakan lumut ini paling efektif dilakukan dengan menggunakan pelampung saiz kecil.
Bagi memaksimakan pengalaman memancing ikan tilapia liar ini, gunakan set pancing ultra light dalam kelas 10 paun (lb) ke bawah.
Joran berkekuatan 2-6lb atau 4-10lb, panjang antara lima hingga enam kaki sudah memadai.
Gunakan tali utama yang halus, sekitar 4 hingga 8lb dan perambut fluorocarbon antara 8 hingga 10lb.
Gandingkan dengan pelampung bersaiz kecil bagi meminimumkan keculasan ikan tilapia liar yang ingin dipancing.
Kawasan terbaik untuk melontar umpan lumut hijau ini adalah di sekitar struktur di tepi tebing, pokok tumbang atau berhampiran pintu air, di mana ikan tilapia sering berkumpul mencari makanannya.
Ikan tilapia selalunya akan makan umpan secara menggetu dengan berhati-hati. Jadi, apabila pelampung mula tenggelam perlahan atau bergerak, itu petanda tepat untuk pemancing melakukan sentapan.
Mata kail yang kecil dan berdiameter halus mudah sahaja membenam di mulut ikan tilapia ini.
Apa yang perlu dilakukan hanyalah berlawan dengan tenang dan sentiasa pastikan tali sentiasa tegang supaya ikan tidak mudah terlucut.
Kesimpulan
Menggunakan lumut bukan sahaja menjimatkan kos, malah ia membuktikan bahawa umpan semula jadi ada kalanya jauh lebih berbisa berbanding umpan-umpan lain di pasaran.
Bagi anda yang masih buntu mendapatkan ikan tilapia liar, apa kata bawa satu bekas lumut pada trip hujung minggu ini.














