PETALING JAYA – Tindakan murni seorang pengusaha bengkel motosikal yang hanya mengenakan caj upah sebanyak RM15 demi membantu seorang pelanggan menukar komponen motosikalnya mengundang rasa terharu pengguna media sosial.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di aplikasi Threads oleh Minyakhitamjalanan, pemilik bengkel berkenaan pada asalnya sudah mahu menutup kedai sekitar pukul 10 malam kerana hujan.
Namun, seorang lelaki yang berada dalam keadaan terdesak meminta untuk menggantikan set pemancu (sprocket) motosikalnya yang sudah terlalu haus.
“Staf aku bagitahu bukan sprocket je kena tukar tapi rantai motor dia pun kena ganti juga sebab dah teruk. Tapi katanya abang tu tak nak tukar sebab tak cukup bajet.
“Aku pun naik lori ambil rantai harga RM85 dan pergi dekat abang tu beritahu yang dia cuma perlu bayar upah RM15 saja,” katanya.
Menurutnya, rantai tersebut merupakan infaq daripada seorang individu yang berpesan agar rantai berkenaan diserahkan kepada mana-mana pelanggan yang benar-benar berada dalam kesusahan.
“Hari ini saya dah jumpa abang, malam ini memang rezeki abang,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna memuji sifat ihsan pengusaha bengkel tersebut dan mendoakan agar perniagaannya terus berjalan dengan lancar.
“Terbaik bro…hang dah membuatkan satu hati ceria hari ini. Mungkin abang itu memang dalam kesempitan,” puji Azrinezurain.
“Aduh bang kisah abang banyak menyentuh hati saya, rasa nak nangis sebab kita pun jenis macam abang tak boleh tengok orang susah walaupun kita kurang mampu,” kata Ryzz4lyfe_. – KOSMO! ONLINE














