PETALING JAYA – Satu video memaparkan kewujudan lapisan lumut berwarna hijau kebiruan di permukaan kolam air panas di Ulu Legong, Baling, Kedah mencetuskan persoalan dalam kalangan netizen.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Threads, seorang pengguna bertanya mengenai kewujudan lumut itu yang dilihat memenuhi sebahagian kawasan kolam air panas.
Pengguna tersebut kemudian memegang lapisan berkenaan sambil bertanya adakah ia berbahaya kepada pengunjung kolam air panas berkenaan.
Seorang individu dikenali Amin Hamzah yang mempunyai pengetahuan dalam bidang ekologi tampil menjelaskan, lapisan itu berkemungkinan cyanobacteria atau alga hijau-biru yang lazimnya dijumpai di kawasan air panas semula jadi.
Menurutnya, organisma itu mampu hidup dalam persekitaran bersuhu tinggi dan dipercayai menyumbang kepada pembentukan protein serta antioksidan semula jadi dalam air.
Jelas beliau, kewujudan alga itu juga menjadi antara faktor menyebabkan ramai pengunjung merasakan kulit menjadi lebih licin selepas berendam di kolam air panas.
“Itu alga hijau-biru (cyanobacteria), boleh hidup dekat air panas. Memang tidak dicuci sebab dari situ segala protein dan antioksidan terhasil. Sebab itulah kulit kau rasa mulus selepas berendam air panas.
“Kalau cuci, tiadalah manfaat rendam air panas, baik mandi air panas kat rumah. Ia juga menolong air untuk kekal jernih. Jangan risau ‘flesh eating bacteria’ bagai, itu kat laut.
“Kalau ada pun ‘brain eating’ bakteria, tapi padahal kat air terjun lagi banyak.. Lagipun, kita tidak pernah ada kes-kes seperti itu,” katanya.
Seorang lagi individu yang mendakwa bekerja di makmal turut bersetuju dengan kenyataan Amin Hamzah.
Dalam pada itu, seorang pengguna media sosial yang pernah berkunjung ke lokasi sama turut berkongsi pengalaman menggunakan lumut untuk disapu pada kulit kerana percaya ia mempunyai khasiat tertentu.
“Dulu ada pak cik selalu datang Legong, tawar nak lumur kat muka. Best weh, tetapi geli sikit benda tu lembik (dan) licin,” kongsi Mirey. – KOSMO! ONLINE














