PETALING JAYA – Dua ekor buaya tembaga gergasi sepanjang 5.5 dan 5.3 meter berjaya ditumpaskan oleh pemburu buaya berlesen di Sungai Kemena, Bintulu, Sarawak baru-baru ini.
Menurut pemburu buaya berlesen, Jeferry Siew dalam hantaran di Facebook, kedua-dua reptilia tersebut berjaya ditangkap oleh pasukan yang diketuai Juni Kung.
Dalam hantarannya, Jeferry turut memuat naik beberapa gambar dan video memaparkan bangkai buaya berkenaan diangkat menggunakan kren sebelum dibawa menaiki lori.
Menurut laporan media tempatan, Borneo Post, Jeferry berkata penampakan buaya bersaiz besar kini semakin kerap berlaku di Sungai Kemena dengan beberapa ekor reptilia itu sering ditemui pada jarak yang dekat antara satu sama lain di sepanjang sungai berkenaan.
“Di beberapa bahagian sungai yang dalam, boleh terdapat tiga atau empat ekor buaya. Kadang-kadang terdapat seekor buaya setiap 100 meter dan diikuti seekor lagi dalam jarak 200 meter berikutnya.
“Di lokasi tertentu, tiga atau empat ekor buaya boleh ditemui dalam lingkungan hanya 200 meter,” katanya.
Perkongsian tersebut menarik perhatian ramai pengguna media sosial yang menyifatkan saiz buaya itu sebagai luar biasa besar, malah ada yang membandingkannya dengan buaya legenda Sarawak, Bujang Senang.
Untuk rekod, nama Bujang Senang cukup sinonim dengan Sarawak selepas buaya tembaga yang digelar sebagai legenda itu ditembak mati pada tahun 1992 selepas dikaitkan dengan beberapa siri serangan terhadap manusia di Sungai Batang Lupar.
Laporan menyatakan Bujang Senang mempunyai panjang sekitar 19 kaki atau kira-kira 5.8 meter serta berat melebihi satu tan.
Dengan ukuran melebihi 5.5 dan 5.3 meter, buaya yang ditangkap di Sungai Kemena baru-baru ini hanya beberapa puluh sentimeter lebih pendek berbanding saiz Bujang Senang yang pernah menggemparkan Sarawak suatu ketika dahulu.
Sementara itu, menerusi ruangan komen, penduduk tempatan mendakwa kawasan Sungai Kemena dan beberapa sungai berhampiran Bintulu sememangnya menjadi habitat kepada banyak buaya bersaiz besar.
Malah ada yang mendakwa masih terdapat beberapa ekor lagi buaya yang lebih besar berkeliaran di kawasan berkenaan, termasuk berhampiran muara dan kawasan perkapalan.
“Size Bujang senang sudah ni. 18 kaki. Sungai Sebatang berdekatan Bintulu Port ada dua ekor saiz besar, size kecil-kecil pun banyak,” tulis Petrus.
“Ada lagi buaya besar warna hitam kulitnya. Lokasi depan tongkang Borneo Shipping. Kalau air surut memang nampak buaya tu,” komen Razali pula. – KOSMO! ONLINE














