ALOR SETAR – Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) menyifatkan keputusan menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu sebagai langkah tepat pada masanya selepas hubungan itu tidak lagi membawa kepada matlamat penyatuan ummah yang lebih besar.
Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata, pihaknya mendukung penuh pendirian Pas Pusat untuk menamatkan kerjasama politik dengan parti tersebut.
Katanya, pendirian itu susulan daripada kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang sebelumnya menyatakan hasrat mengkaji semula hubungan politik dengan Bersatu.
“DUPP ingin menegaskan bahawa kerjasama Pas dan Bersatu adalah berasaskan kepada ta’awun siyasi yang bertitik tolak daripada prinsip tolong-menolong atas dasar kebaikan. Seharusnya prinsip ini menjadi dukungan utama terhadap agenda teras yang diperjuangkan Pas secara konsisten sejak sekian lama iaitu gagasan penyatuan ummah,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, agenda untuk memperjuangkan gagasan penyatuan ummah itu adalah teras utama politik dan formula yang lebih ampuh bagi meruntuhkan wacana politik PH-DAP.
“Ia wajar digerakkan secara konsisten apatah lagi kesiapsiagaan jentera bagi menghadapi pilihan raya yang lebih strategik.
“Namun, apabila kerjasama politik ini tidak menatijahkan kepada penyatuan ummah yang lebih besar, tambahan lagi terdapat halangan-halangan tertentu, maka pendirian yang dinyatakan oleh Pas Pusat ini hadir tepat pada masanya,” ujarnya.
Justeru, DUPP menyeru seluruh ahli parti agar menerima keputusan Pas Pusat itu dengan jiwa besar.
Terdahulu, Pas mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan Bersatu sekali gus mencetuskan perkembangan baharu dalam landskap politik negara menjelang Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum Ke-16.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat semalam selepas mengambil kira keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 2 Jun lalu berhubung kedudukan kerjasama politik antara kedua-dua parti. – KOSMO! ONLINE














