TAPAH – Pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang ditemukan selamat selepas hilang selama 14 hari di Gunung Batu Putih di sini dikatakan tidak pernah meninggal solat.
Menurut suaminya, Haszman Othman, 61, semasa berbual dengan isterinya itu, dia dimaklumkan bahawa Jaslinda tidak pernah meninggal solat sepanjang dua minggu hilang dan berpandukan matahari untuk menentukan waktu.
“Dia berserah kepada Allah. Bagi saya memang dia berserahlah. Apabila dah dia seorang diri dalam hutan, tiada orang lain, tak ada manusia dah. Itu antara dia dengan Allah,” katanya kepada pemberita di Hospital Tapah di sini hari ini.
Haszman berkata, Jaslinda dipercayai berzikir kepada Allah sepanjang berjalan di hutan tersebut selain tidur dengan menggunakan plastik sampah untuk menutupi keseluruhan badannya.
“Itulah hutan rimba ni. Binatang buas pun ada teapi Allah tak bagi jumpa dia. Mungkin berkat solat dia. Saya tak tahu, betul-betul saya cakap. Antara dia dengan Allah saja yang tahu benda tu. Fikir balik, kenapa Allah pilih dia? Kenapa Allah tak pilih kita?,” katanya. – KOSMO! ONLINE














