fbpx
MUHAMMAD AMIRUL didakwa tujuh pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan menyimpan bahan lucah di Mahkamah Sesyen dan Majistret Johor Bahru, hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI

Cikgu berdepan penjara 131 tahun cabul murid, simpan bahan lucah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Seorang guru lelaki berdepan hukuman penjara sehingga 131 tahun dan sebatan selepas didakwa di mahkamah berasingan di sini hari ini atas tujuh pertuduhan mencabul kehormatan murid perempuan dan memiliki bahan lucah.

Tertuduh, Muhammad Amirul Firdaus Awang Meran, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Nor Aziati Jaafar, Hakim Madihah Zainol dan Majistret Atifah Hazimah Wahab.

Di Mahkamah Sesyen, guru sekolah rendah di Masai itu menghadapi lima tuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas murid perempuan ketika mangsa berusia 11 dan 12 tahun semasa kejadian.

Perbuatan itu dilakukan di dalam sebuah kereta di parkir taman permainan di Masai pada 26 Februari 2024 hingga 27 Ogos 2025.

Oleh itu, Muhammad Amirul Firdaus didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibacakan bersama Seksyen 16(1) akta sama.

Di Mahkamah Majistret, lelaki itu didakwa dua tuduhan menyimpan bahan lucah di dalam dua telefon bimbitnya di tepi Jalan Seri Wangi 1/1, Taman Perindustrian Pelentong, Masai pada pukul 10.30 malam, 21 Mei 2026.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Sesyen 292(a) Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Wahida Shahudin, S. Manushri dan Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal, manakala tertuduh diwakili peguam Nor Zafirah Norizan, Ungku Ahmad Hafiz Ungku Fatil dan Asyikin Syafiqah.

Mahkamah menetap jaminan keseluruhan sebanyak RM19,000 selain memerintahkan tertuduh melapor diri setiap bulan di balai polis berdekatan, dilarang mengganggu saksi dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Tarikh 13 Julai ini ditetapkan untuk sebutan semula kes tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN