HULU SELANGOR – Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam kebakaran di sebuah premis kedai di Jalan Adenium 2G/10. di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.25 pagi itu, mangsa lelaki berusia 43 tahun bagaimanapun berjaya diselamatkan hasil tindakan pantas pasukan bomba.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, seramai sembilan anggota bersama sebuah jentera dan kenderaan utiliti Hilux digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, kebakaran didapati melibatkan longgokan kotak-kotak di bahagian tangga premis kedai.
“Ia memusnahkan kira-kira 80 peratus longgokan kotak tersebut namun tidak melibatkan struktur bangunan premis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mangsa tidak mengalami kecederaan dan telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE














