fbpx
MELALUI transponder di kapal-kapal laut, Global Fishing Watch dapat mengumpulkan berbilion-bilion titik data kedudukan kapal dari seluruh dunia.

Nelayan jadi ‘sensor’ kehidupan lautan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMAJUAN teknologi kini membuka lembaran baharu dalam usaha memahami kehidupan marin dan mengurus sumber perikanan dunia dengan lebih berkesan.

 Jika sebelum ini saintis bergantung kepada kaedah tradisional yang memerlukan kos tinggi serta masa yang panjang untuk menjejak populasi ikan di lautan, kini mereka mula menggunakan pendekatan yang lebih inovatif iaitu menjejak pergerakan nelayan bagi memahami pergerakan ikan.

Menurut ketua Saintis organisasi bukan berasaskan keuntungan ,Global Fishing Watch, David Kroodsma, cabaran utama dalam mengkaji populasi ikan ialah habitatnya yang berada jauh di bawah permukaan laut. 

“Tidak seperti haiwan daratan yang boleh dipantau menggunakan kamera atau satelit, ikan sukar dikesan secara langsung. 

“Faktor ini menjadikan proses menentukan lokasi, jumlah populasi dan corak migrasi ikan sebagai tugas yang rumit, namun kami memperkenalkan kaedah baharu yang memanfaatkan data digital dan kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan gambaran lebih jelas mengenai aktiviti perikanan global,” katanya dalam artikel di abc7news.com.

Tambahnya, melalui penggunaan Sistem Pengenalan Automatik (AIS), iaitu transponder yang diwajibkan pada kapal-kapal besar bagi mengelakkan perlanggaran di laut, organisasi tersebut mengumpulkan berbilion-bilion titik data kedudukan kapal dari seluruh dunia. 

DATA yang diperoleh bukan sahaja membantu memantau aktiviti perikanan, malah berpotensi mengesan ancaman seperti penangkapan ikan berlebihan.

Data yang sangat besar ini kemudiannya dianalisis menggunakan algoritma pembelajaran mesin untuk mengenal pasti jenis kapal, aktiviti yang dilakukan serta menentukan sama ada sesebuah kapal sedang menjalankan aktiviti penangkapan ikan. Kongsinya lagi, teknologi AI membolehkan pihaknya menukar data mentah kepada maklumat yang lebih bermakna untuk pemantauan lautan.

“Kami mengambil semua kedudukan sistem posisi sejagat (GPS) kapal di seluruh dunia dan menggunakan pembelajaran mesin untuk menentukan jenis kapal, apa yang sedang dilakukan, sama ada kapal nelayan dan bila aktiviti penangkapan ikan berlaku.

“Lebih menarik, sistem itu turut mampu mengesan kapal yang mematikan transponder mereka, satu tindakan yang dikenali sebagai ‘going dark’, dalam situasi sedemikian, pasukan penyelidik menggunakan berjuta-juta gigabait imej satelit dan AI untuk mengenal pasti kapal yang tidak menghantar isyarat serta membandingkannya dengan data sedia ada,” ujarnya.

Katanya lagi, hasil data tersebut, satu peta digital lautan dunia yang semakin terperinci dapat dibangunkan. 

Data tersebut bukan sahaja membantu memantau aktiviti perikanan, malah berpotensi mengesan ancaman seperti penangkapan ikan berlebihan yang boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem marin.

Pada masa sama, data pergerakan kapal nelayan turut dimanfaatkan oleh penyelidik bagi memahami kesan perubahan iklim terhadap kehidupan laut. 

Sementara itu, penyelidik sains marin dari Universiti California Santa Cruz, Heather Welch, melihat potensi besar data tersebut sebagai sumber maklumat yang lebih pantas dan menjimatkan berbanding kaedah lapangan konvensional.

“Kami mencari sumber data yang sudah tersedia dan boleh diakses dengan cepat bagi membantu membuat inferens tentang perubahan ekosistem.

DATA pergerakan kapal nelayan turut dimanfaatkan oleh penyelidik bagi memahami kesan perubahan iklim terhadap kehidupan laut.

“Dalam satu kajian yang diterbitkan baru-baru ini, pasukan kami menggunakan data armada perikanan sebagai sistem penderia terapung untuk menjejak pergerakan ikan tuna albakor ketika berlaku gelombang haba laut yang luar biasa. 

“Kajian itu mendapati pendekatan berasaskan data armada nelayan enam kali lebih berkesan dalam meramalkan perubahan populasi ikan berbanding kaedah tradisional seperti pemantauan suhu lautan,” kongsinya.

Penemuan tersebut memberi harapan baharu kepada industri perikanan dan pihak berkuasa dalam merancang langkah awal menghadapi gangguan ekosistem marin. 

Perubahan suhu laut yang ekstrem bukan sahaja mempengaruhi lokasi ikan, malah boleh menyebabkan ledakan alga berbahaya, menjejaskan hasil laut dan memberi kesan ekonomi kepada komuniti nelayan.

Menurut Welch, fenomena gelombang haba laut yang berlaku antara tahun 2014 hingga 2016 menunjukkan bagaimana perubahan ekosistem boleh memberi kesan berantai terhadap industri perikanan dan hidupan marin lain seperti paus bongkok yang mula muncul di kawasan baharu.

“Melangkah ke hadapan, kami berharap teknologi pemantauan terbuka seperti yang dibangunkan oleh Global Fishing Watch dapat diperluaskan penggunaannya di seluruh dunia. 

“Dengan gabungan AI, data satelit dan sistem pemantauan kapal, manusia kini mempunyai peluang lebih besar untuk memahami perubahan yang berlaku di lautan secara masa nyata,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN