PUTRAJAYA – Pertubuhan Perpaduan Negara Malaysia (PPNM) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung peruntukan bernilai ratusan juta ringgit masyarakat India yang gagal disalurkan secara telus.
Difahamkan, peruntukan itu melibatkan program Pemerkasaan Usahawan India (Seed) dan Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (Sedic).
Pengerusinya, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz berkata, sehingga kini peruntukan itu tidak diterima sepenuhnya oleh masyarakat kaum berkenaan
Susulan itu, katanya, MIC yang menjadi parti yang mewakili kaum India ketika Barisan Nasional (BN) mentadbir sebelum ini perlu memberi penjelasan.
“Kalau kita lihat zaman BN memerintah, ibu masyarakat India ialah MIC, sebab itu mereka kena bertanggungjawab.
“Jadi, sebagai pemimpin masyarakat MIC kenalah bertanggungjawab, termasuk sekarang siapa yang memimpin masyarakat India juga bertanggungjawab sebab duit sudah diserahkan,” katanya ketika ditemui selepas hadir di Ibu Pejabat SPRM hari ini.
Katanya, laporan kepada SPRM untuk melibatkan permohonan bagi menyiasat Kolej Aims termasuk bagaimana proses tender melibatkan pusat pengajian itu dilaksanakan.
“Kami juga membuat laporan berkaitan peruntukan sekolah Tamil dari 2009 hingga 2018 yang mencecah billion ringgit, namun sekolah terbabit masih dalam keadaan daif,” katanya.
Sebelum ini, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mendedahkan Sedic menerima peruntukan berjumlah RM203.89 juta dari tahun 2014 hingga 2018. – KOSMO! ONLINE














