fbpx
SITI Nur Atikah (duduk, kiri) pada pengebumian lima jenazah ahli keluarganya di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Al-Abidi, Merbok, hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN/KOSMO!

‘Nikmat kekeluargaan itu hilang sekelip mata’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – “Saya tak tahu nak cakap apa lagi kerana dalam sekelip mata, saya hilang ibu, anak, dua adik dan anak saudara. Perasaan ini terlalu sukar untuk saya gambarkan.”

Demikian luah Siti Nur Atikah Ahmad Shukri, 40, yang masih terkejut dengan tragedi meragut nyawa anak lelakinya, Iskandar Affan Ibrahim, 7, dan lima ahli keluarganya dalam kemalangan di Kampung Baru Pinang Tunggal, Sungai Petani, semalam.

Lima yang maut adalah ibunya, Nora Mohd. Husin, 55; dua adik iaitu Ahmad Shafiq, 29, dan Ahmad Fahim, 21,; isteri Ahmad Shafiq iaitu Jamaliah Sannusi, 29, dan bayi mereka, Ahmad Mikail yang berusia dua bulan.

Seorang anak saudaranya iaitu Aulia Sofea, 3, yang merupakan anak kepada Ahmad Shafiq cedera parah pada bahagian muka dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

Menurut Siti Nur Atikah, hubungan kekeluargaan antara mereka sangat rapat dan hampir semua aktiviti dilakukan bersama-sama sehingga kehilangan tersebut meninggalkan kekosongan yang amat besar dalam dirinya.

“Kami memang jenis keluarga yang bergerak ke mana-mana bersama. Pergi makan bersama, bercuti bersama. Hari ini daripada enam orang (adik beradik), tinggal empat orang sahaja.

“Ibu dah tak ada, ayah pun dah lama meninggal dunia, sekarang anak pula tiada. Nikmat kekeluargaan itu hilang begitu sahaja,” katanya ketika ditemui selepas selesai pengebumian lima jenazah ahli keluarganya di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Al-Abidi, Merbok, di sini hari ini.

Jenazah Iskandar terlebih dahulu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Permatang Kuang, Penaga di Pulau Pinang awal pagi tadi.

Katanya, ahli keluarganya itu terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan menziarahi kubur arwah bapa di tanah perkuburan tersebut.

“Semalam mereka nak datang ziarah kubur arwah ayah di sini, hari ini mereka pula dikebumikan di sini,” ujarnya.

Jelasnya, anak saudaranya, Aulia Sofea masih menerima rawatan di HSB.

“Kalau ditakdirkan dia ‘pulang’, saya reda kerana ayah dan mak dia pun sudah tiada tetapi andai Allah nak pinjamkan lagi, saya akan jaga dia. Selama ini pun dia sudah macam anak saya sendiri kerana hubungan kami sangat rapat,” katanya.

Tambahnya, pemergian satu-satunya anak lelaki sangat memberi kesan mendalam pada dirinya.

“Arwah suka bercakap dan bergurau serta manja dengan semua orang. Masa sambut ulang tahun kelahiran ayahnya, dia paling seronok,” katanya.

Sementara itu, suaminya, Ibrahim Ghazali, 39, berkata, anaknya itu pergi meninggalkannya pada hari lahirnya semalam.

“Anak saya itu berkali-kali menyanyikan lagu selamat hari lahir dan menyerahkan hadiah jam tangan dibeli isteri buat saya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN