fbpx
Salwani (belakang) dan Hafizuddeain (depan) ketika hadir di mahkamah pada prosiding sebutan kes lalu.

Mahkamah keluar warta pihak ketiga barang kemas isteri bekas PTD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini mengeluarkan warta pihak ketiga terhadap mana-mana pihak berkepentingan ke atas barangan kemas yang disita daripada Salwani Anuar @ Kamaruddin yang merupakan isteri ketiga bekas Panglima Tentera Darat (PTD) Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat agar notis kepada pihak ketiga dikeluarkan.

Pada masa sama, peguam Muhammad Kausar Mohd Khairi mewakili Salwani selaku responden tidak berhasrat mencabar prosiding berkenaan.

Justeru mahkamah kemudian menetapkan 31 Julai ini bagi pendengaran pada mana-mana pihak ketiga sekiranya berhasrat untuk mencabar permohonan pelucuthakan sebelum mahkamah memutuskan sama ada harta berkenaan dilucuthakan atau sebaliknya.

Sebelum ini, pihak pendakwaan telah memfailkan notis permohonan tersebut untuk melucut hak harta-harta yang disita daripada Salwani.

Terdahulu pendakwa raya selaku pemohon memfailkan permohonan itu pada 4 Mei lalu, dengan menamakan Salwani, 27, sebagai responden.

Berdasarkan notis yang difailkan pendakwa raya memohon agar seutas rantai leher seberat 29.17 gram, seutas rantai tangan seberat 9.53 gram, sepasang subang seberat 6.61 gram dan cincin Swarovski dilucut hak kepada kerajaan mengikut Seksyen 41(1) akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada 22 Januari lalu, Salwani didakwa dan mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan atas empat pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM77,000.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Salwani didakwa sebagai pengawal sebuah syarikat menerima wang hasil daripada aktiviti haram masing-masing RM50,000, RM7,000, RM10,000 dan RM10,000 yang dimasukkan ke dalam sebuah akaun bank milik syarikat itu berjumlah RM77,000.

Kesalahan dilakukan di sebuah bank di Damansara Heights di sini antara 24 November 2024 hingga 25 November 2025 yang mengikut Subseksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 dan dibaca bersama Subseksyen 87(1)(a) akta sama dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Empat hari selepas itu, pada 26 Januari wanita itu didakwa sekali lagi dan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas satu pertuduhan menerima wang berjumlah RM5,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN