KUALA NERUS – Empat pulau peranginan Terengganu iaitu Pulau Redang di sini; Perhentian, Besut; Pulau Kapas, Marang dan Tenggol, Dungun menjadi rangkaian pulau di dalam taman laut paling popular di negara ini apabila berjaya menarik 351,103 pelancong pada tahun lalu.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, empat pulau Terengganu terbabit berjaya menarik 64 peratus pelancong domestik dan asing yang melawat pulau peranginan di dalam taman laut seluruh negara dalam tempoh tersebut.
“Seramai 548,598 pengunjung telah direkodkan mengunjungi 56 pulau-pulau yang telah digazetkan di dalam Taman Laut Malaysia pada tahun lalu.
“Sebanyak 64 peratus iaitu 351,103 orang daripada mereka telah mengunjungi kawasan Taman Laut Terengganu merangkumi Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Kapas dan Pulau Tenggol,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Laut Sedunia peringkat kebangsaan di Pulau Redang di sini hari ini.
Adnan berkata, Taman Laut Terengganu digemari pelancong domestik dan asing kerana keindahan terumbu karang, pantai dan ekosistem marin.
Beliau berkata, ia membuktikan perlindungan marin amat penting bukan sahaja demi pemuliharaan biodiversiti malah pemangkin kepada pembangunan ekonomi setempat menerusi sektor pelancongan marin.
Dalam perkembangan sama, Adnan berkata, Jabatan Perikanan melancarkan kempen tidak menggalakkan penggunaan beg plastik di rangkaian pulau peranginan di dalam taman laut seluruh negara.
Beliau berkata, semua pemegang taruh termasuk pelancong dan operator pelancong seperti pengusaha resort di pulau taman laut seluruh negara digalakkan agar hanya menggunakan bekas makanan mesra alam. – KOSMO! ONLINE














