MALAYSIA sangat beruntung kerana memiliki beberapa pulau yang sangat cantik yang telah dinobatkan oleh pelancong asing tentang keunikan dan keasliannya sehinggakan ramai yang kembali semula menempah pakej percutian di Pulau Tioman, Redang, Perhentian, Pulau Pangkor dan Langkawi.
Bagai syurga percutian, sesiapa sahaja yang menjejakkan kaki ke jeti pulau-pulau berkenaan, sekali gus segala beban kerja, tekanan perasaan, masalah peribadi dan pelbagai lagi yang berat dipikul di dada serta fikiran masing-masing hilang sekelip mata.
Sebaik mata memandang jauh ke lautan yang berwarna kehijauan dengan tiupan angin pantai serta laut menjadikan raut wajah dengan badan yang letih selepas memandu atau berada dalam kenderaan beberapa jam dari pusat bandar kini kembali segar serta ceria kembali.
Tidak perlu ubat bernilai ribuan ringgit untuk mengubati penyakit tersebut tetapi hanya dengan menghadirkan diri di destinasi percutian yang mengagumkan itu.
Sememangnya masih ada lagi rakyat Malaysia yang tidak dikurniakan rezeki atau berkesempatan untuk berkunjung ke mana-mana pulau berkenaan tetapi sekiranya sudah tiba di salah satu pulau berkenaan, pastinya mereka akan membulatkan tekad untuk berkunjung kembali dengan program percutian yang lebih menerujakan.
Bila jadi orang pulau, kita akan bertanyakan soalan lazim, hari ini hari apa ya, lantas dijawab oleh rakan kembara yang lain dengan hilaian ketawa yang menyeronokkan.
Bila jadi orang pulau, kita lupa untuk berdiet, makanlah segala apa hidangan untuk sarapan pagi hingga makan malam kerana jika anda menginap di hotel lima bintang, segala menu masakan yang dihidangkan begitu menyelerakan, tetapi jangan culas makan ubat utama yang perlu diambil untuk mereka yang ada pelbagai penyakit berbahaya.
Bila jadi orang pulau, tidak perlu membaca e-mel berkaitan urusan kerja, menjawab WhatsApp bila perlu sahaja malah tidak perlu juga memikirkan untuk membuat sebarang jualan bagi mencapai KPI, maka tinggalkan semuanya dulu di rumah buat sementara waktu.
Selain itu, bila jadi orang pulau, minat untuk kita berbual dengan penduduk kampung, pekerja tempatan dan juga sesiapa yang ditemui pastinya akan menggalakkan kita berbual, bertukar fikiran malah pastinya banyak ilmu kehidupan baharu yang dapat dijadikan panduan.
Jadi beri ruang kepada diri sendiri untuk berihat, jika mampu, pergilah bercuti, jika berbajet besar berkunjunglah ke pulau yang ada di dalam negeri malah di Sabah.
Terlalu indah ciptaan tuhan untuk kita nikmati dan hayati.
Masyarakat kita makin sakit dengan segala cabaran dan tekanan yang dihadapi sehingga membuatkan individu tidak kenal lelaki atau yang perempuan sudah mula menunjukkan taring mereka di jalanan atau di mana sahaja mereka berada.
Masalah ‘anxiety’, stres, ‘burnout’ menjadi luahan hati masyarakat kini bukan sahaja dalam kalangan dewasa tetapi juga kanak-kanak.
Sebab itulah jarang kita lihat orang pulau mengamuk dalam feri atau di jeti atau di pangkalan nelayan gara-gara tekanan hidup yang mencabar.
Mereka tidak berdepan cabaran seperti orang bandar tetapi mungkin terpalit sikit impaknya tatkala cuaca tidak menentu dan musim monsun. Hanya perlu berdamai dengan alam. -KOSMO! ONLINE














