KUALA TERENGGANU – Inisiatif Geng Plastik Ija (GPI) mengutip sampah di pantai peranginan sekitar negeri ini mampu menjana pendapatan lebih RM800 setahun hasil jualan barangan kitar semula.
Pengerusi GPI, Zalina Zakaria berkata, setiap kali aktiviti gotong-royong membersihkan pantai diadakan, peserta akan mengasingkan sampah yang boleh dikitar semula seperti tin minuman dan botol plastik.
“Hari ini (semalam), sebahagian 160 kilogram (kg) sampah yang dikutip adalah produk yang boleh dikitar semula. Ia akan diasingkan dan dijual di pusat kitar semula sekali gus menjana pendapatan sampingan buat GPI,” katanya selepas aktiviti gotong-royong bersama pengamal media di Pantai Tanjung di sini.
Jelasnya, sebahagian besar pendapatan itu akan digunakan untuk membeli barangan pembersihan seperti beg plastik, sarung tangan dan penyapu bagi melakukan kerja-kerja pembersihan pantai.
Pendapatan sampingan daripada jualan barangan kitar semula itu secara tidak langsung membantu kelangsungan GPI dalam aktiviti kesukarelawan tanpa bergantung sepenuhnya kepada sumbangan luar.
“Kita mahu membuka mata masyarakat bahawa sebahagian sampah masih ada nilai selain menyuburkan lagi budaya kitar semula dalam kalangan masyarakat,” katanya.
GPI menganjurkan aktiviti pembersihan pantai setiap Jumaat pada musim tengkujuh, berbanding dua minggu sekali pada musim biasa.
“Kekerapan ini disebabkan peningkatan sampah termasuk dari luar negara sepanjang tengkujuh. Kita beruntung kesedaran orang ramai makin meningkat, ramai termasuk golongan profesional mahu menjadi sukarelawan,” katanya.














