PETALING JAYA – Siren nasihat tsunami kedengaran di Tawau, Sabah meminta penduduk berwaspada dan menjauhkan diri dari pantai dan muara sungai, susulan gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 melanda Mindanao, Filipina pagi ini.
Video bunyi siren dan pengumuman tersebut turut dikongsikan oleh pihak Masjid Al-Kauthar Tawau pada Facebook yang mana menara siren amaran kecemasan tersebut terletak di kawasan tempat letak kereta masjid itu.
“Bukan ujian latihan, amaran tsunami berlaku gempa kuat di Mindanao. Berhati-hati yang tinggal di persisiran pantai,” menurut pentadbir Facebook Masjid Al-Kauthar di ruangan komen.
Hantaran itu mendapat pelbagai maklum balas daripada penduduk Tawau yang berharap tiada kejadian diingini berlaku di kawasan tersebut termasuk Sabah.
“Kuatnya bunyinya,” komen Bibie Aida.
“Ya Allah, lindungi Tawau,” komen pengguna Facebook Anikmatu Khairunnisak.
“Semoga kita semua baik-baik, doa mohon Allah lindungi kita semua,” kata Hazmanakil Hasman.
Kosmo! melaporkan, penduduk di kawasan pantai timur Sabah diminta kekal tenang dan tidak panik susulan amaran awal tsunami yang dikeluarkan selepas gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 melanda Mindanao, Filipina pagi tadi.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dilaporkan berkata, kerajaan melalui Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) serta agensi keselamatan sedang memantau situasi tersebut secara rapi dari semasa ke semasa.
Berdasarkan analisis MetMalaysia, tsunami setinggi 0.4 meter dijangka melanda kawasan pantai di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu antara pukul 10.30 pagi hingga 12 tengah hari. – KOSMO! ONLINE














