fbpx
Mohamad Abdussalam melayan pelanggan yang berkunjung ke restorannya di Setia Alam, Shah Alam baru-baru ini.

Niat berkongsi rasa, Ya Salam miliki ramai peminat setia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Dilahirkan dan membesar dalam keluarga yang terlibat dunia perniagaan makanan selalunya membo­lehkan salah seorang daripada anak mewarisi bakat kemahiran ibu dan ayah yang pandai memasak.

Kreativiti itulah yang diwarisi oleh Pemilik perniagaan Restoran Ya Salam yang telah mula memegang tepung atar dan menguli tepung sejak berumur lapan tahun ketika membantu arwah bapanya yang berniaga capati di sebuah restoran di Padang Matsirat, Langkawi, Kedah.

Kini, Mohamad Abdussalam Idris, 38, bukan sahaja mahir memasak capati tetapi kreati­vitinya dipelbagaikan lagi dengan memasak menu yang lazat.

Keunikan itu membolehkan lebih ramai pengunjung bukan sahaja dari Lembah Klang, malah hampir dari seluruh Semenanjung Malaysia.

Set capati yang lembut dijamah dengan pilihan kuah seperti kari kambing, kari ayam, keema da­ging, lauk sardin dan terbaharu boleh dimakan de­ngan kuzi kambing dan juga kari tengkuk kambing pada harga serendah RM15 setiap set.

Turut dihidang­kan di restoran­nya yang terletak di Setia Alam dekat sini juga adalah nasi arab kambing, nasi arab ayam dan sup kambing.

Kepelbagaian me­nu ini membo­lehkan pelanggan memilih hidangan mengikut cita rasa masing-masing, sama ada menggemari kam­bing, ayam atau da­ging.

Mohamad Abdussalam yang pernah ke Tanah Suci ketika menunaikan umrah dengan mencuri masa terluang belajar nasi arab daripada penduduk di sana juga berpuas hati dengan menu sedia ada yang telah berjaya menaikkan jenama Ya Salam dalam kalangan masyarakat.

“Setiap kali keluar dari rumah untuk memulakan apa juga perkara berkaitan perniagaan, saya memulakannya dengan niat untuk berkongsi rasa masakan dengan pelanggan.

“Sehingga kini, perniagaan saya semakin besar iaitu dari hanya bermula satu lot kedai, hari ini saya mampu memiliki empat lot kedai yang dapat memenuhi pertambahan pelanggan setiap hari.

“Lebih menarik, kedai ini juga memiliki tiga mesin untuk mencanai doh capati dengan lebih pantas sehingga mampu me­­­n­yiapkan lebih kurang 1,500 ke­ping capati dalam masa satu jam sekiranya ketiga-tiga mesin itu beroperasi.

“Suasana itu dapat disaksikan pada bulan Ramadan kerana permintaan pelanggan terus berganda,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran restoran dan penjenamaannya semula kepada Ya Salam di sini baru-baru ini.

Berkongsi pengalaman lalu, Mohamad Abdussalam menempuhi pelbagai pengalaman yang banyak mengajarnya erti kehidupan sebagai ahli perniagaan.

“Bisnes ini membawa saya ke satu lokasi ke lokasi lain demi mencari keserasian sambil me­nimba ilmu dalam dunia perniagaan,” katanya.

Tidak usah ditanya nilai pelaburan yang terlibat dalam perjuangannya selama ini tetapi apa yang bernilai untuk dibawa masa kini pengalaman, pengetahuan, kemahiran dan kemata­ngan yang diperolehnya untuk menjadi seorang ahli perniagaan yang tegar dan tahan lasak.

“Saya terlibat dalam industri hampir 30 tahun dan pada awalnya saya bertapak di Setia Alam ini, ia sungguh mencabar kerana saya tidak kenal sesiapa lagi di sini jadi segalanya baharu bagi saya, namun segalanya berubah apabila saya bertemu dengan mentor yang membim­bing kepada kejayaan perniagaan sehingga kini,” jelas beliau.

Malah, usahawan ini telah menetapkan misi untuk menembusi segmen pusat beli-belah untuk membawa jenama Ya Salam de­ngan pembukaan outlet set capati yang enak itu kepada lebih komersial dan meluas dalam masa terdekat.

Banyak perancangan Mohamad Abdussalam untuk mengu­kuhkan lagi jenamanya di pasaran tempatan dan kini sedang merangka pelan untuk merekodkan nama Ya Salam dalam Malaysia Book of Records mengikut ka­tegori yang bersesuaian dengan pencapaian syarikat.

Menurutnya, ini adalah salah satu cara untuk menaikkan imej syarikat sekali gus meningkatkan lagi populariti syarikat kepada penguasaan pasaran yang lebih meluas.

Dalam kesibukan menguruskan pelan pengembangan syarikat, usahawan ini adalah orang penting yang akan keluar mencari bahan mentah di pasar untuk bahan masakan di dapur dan beliau juga yang akan bertindak sebagai cef di dapur untuk memastikan segala sajian mengikut menu restoran.

“Saya bukan seorang yang tidak percaya kepada tukang masak di restoran tetapi saya masih belum jumpa orang yang benar-benar boleh dipercayai untuk memasak menu yang disediakan di restoran ini.

“Saya mahu segalanya terbaik untuk pelanggan kerana ia berbalik semula kepada niat untuk berkongsi rasa masakan kepada mereka, jadi saya mahu menawarkan masakan yang terbaik kepada semua pelanggan,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN