SEBERANG PERAI – Perasaan tidak sedap hati yang menghantui seorang ibu sejak beberapa bulan lalu akhirnya menjadi kenyataan apabila anak bongsunya antara enam yang maut dalam nahas ngeri membabitkan Proton X50 dan lori muatan tanah di Jalan Pinang Tunggal, dekat Sungai Petani, semalam.
Lebih memilukan, dalam tragedi yang sama, Atikah Ahmad Syukri, 40, bukan sahaja kehilangan anak lelakinya, Iskandar Affan Ibrahim, 7, malah turut kehilangan ibu serta dua adik lelakinya sekali gus.
Menurut Atikah, dia sering dibelenggu perasaan seolah-olah bakal kehilangan anak dalam kemalangan jalan raya, namun tidak pernah menyangka perkara itu benar-benar berlaku.
“Arwah manja sangat dengan saya sejak kebelakangan ini tambah dia anak bongsu dari dua beradik yang dia sering memeluk saya dan walaupun ada masanya termarah dia tetapi dia tidak ambil hati.
“Dia pula berminat sangat dengan kereta yang setiap kali melihat kereta pasti dia teruja, jadi bila dia nak ikut dua pakciknya (adik-adik saya), saya pun tiada halangan tetapi tidak menduga mereka terbabit kemalangan.
“Beberapa bulan lalu, saya sudah tidak berasa sedap hati seolah-olah akan kehilangan anak dalam kemalangan, yang tidak sangka ia telah menjadi kenyataan, malah bukan hilang anak sahaja tetapi ibu serta dua adik lelaki saya,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Masjid Permatang Kuang, Penaga di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang semalam, Iskandar Affan dipercayai membuat keputusan pada saat akhir untuk mengikut dua bapa saudaranya selepas teruja melihat sebuah kenderaan baharu yang diambil di sebuah pusat jualan di Juru beberapa jam sebelum kemalangan.
Nahas itu turut meragut nyawa anggota polis, Ahmad Syafiq Ahmad Shukri, 29, Ahmad Fahim Ahmad Shukri, 21, Jamaliah Sannusi, 29, Nora Mohd Husin, 55 serta bayi berusia dua bulan, Ahmad Mikail Ahmad Syafiq. – KOSMO! ONLINE














