SIAPA yang tidak kenal dengan aktor hebat Datuk Remy Ishak? Lakonannya yang ampuh sehingga mampu bergelar hero pujaan ramai menjadikannya antara bintang paling disegani dalam industri hiburan tanah air.
Di sebalik kejayaan yang dikecapi, tidak ramai yang tahu dia pernah beberapa kali gagal dalam uji bakat anjuran syarikat produksi, Redcomm.
Dedahnya lagi, antara naskhah popular terbitan produksi berkenaan yang pernah menolak penyertaannya termasuklah filem Songlap dan Istanbul Aku Datang.
Bagaimanapun, enggan tunduk kepada kegagalan, sifat tidak putus asa pemilik nama lengkap Mohammad Zalimei Ishak itu berbaloi apabila dia akhirnya berjaya memikat hati produksi tersebut untuk menerajui filem terbaharu mereka berjudul Khadam.
Kali ini, Remy berjaya mengisi watak utama selaku Awang iaitu seorang lelaki, suami dan bapa yang berdepan dengan konflik dalaman serta isu baran, menjadikannya watak yang sarat dengan emosi yang berat serta kompleks.
“Bila terpilih dalam Khadam, saya rasa seronok jugaklah untuk bekerjasama sebab saya rasa cerita dia sangat berkait dengan orang Melayu.
“Orang kita ini selalu kalau cakap fasal seram boleh dikatakan semua ada pengalaman.
“Bila baca skrip, saya rasa penulis skrip memang tulis berkaitan dengan masyarakat kita.
“Dia punya perincian fasal Khadam bukan sekadar nak menakutkan orang tapi diceritakan punca kenapa kewujudan (benda mistik) dan sebagainya,” katanya kepada HibGlam.
Demi menghidupkan watak Awang yang disifatkan sebagai seorang yang tegas dan tidak mesra, Remy mengakui terpaksa mementingkan aspek kejujuran dalam lakonan sehingga sanggup mengasingkan diri di lokasi penggambaran.

“Saya rasa watak Awang ini sangat reserved, dia tak mesra, berkasih sayang dan ambil berat dengan keluarga.
“Dia sangat tegas jadi nak bawa watak itu saya kena bina ‘vibes’ tersebut untuk bekerjasama dengan ramai.
Cabaran saya untuk bawa Awang saya kena jadi seorang yang bengis sebab saya percaya lakonan bukan sengaja dibuat-buat, kena jujur.
“Nak wujudkan benda itu saya kena bermasam muka dengan semua. Maksudnya, kena tegas,” ujarnya.
Bagaimanapun, tindakan tersebut menimbulkan rasa bersalah dalam diri lelaki berusia 44 tahun itu terutamanya apabila melibatkan adegan dengan pelakon kanak-kanak.
“Dalam filem ini ada pelakon kanak-kanak, mereka tak faham apa yang berlaku dan anggap saya tak mesra.
“Kalau saya playful nanti mereka tak akan rasa takut dengan saya dan tiada jiwa.
“Mungkin mereka okey tapi saya rasa tak seronoklah, itu cabarannya. Rasa bersalah,” jelasnya.
‘Buang’ Threads
Menukar topik gelanggang, pelakon filem Pulang itu mendedahkan sudah memadam aplikasi Threads kerana sering menyajikan kandungan negatif yang tidak membantu perkembangan mindanya.
“Saya dah tak aktif dalam Threads dan uninstall sebab tiada yang membina.
“Saya pun ada masalah saya tapi semua orang nak bercerita masalah dalam itu.
“Saya pun ada masalah, kena baca masalah orang pula dalam itu, dah kenapa?” tuturnya.
Malah, dia juga menyifatkan aplikasi tersebut sebagai platform yang toksik.
“Lagi satu, tempat itu toksik sebenarnya. Kita mencari idea mungkin ada yang bagus tapi saya tak tahu algoritma selalu berkenaan gosip, selebriti dijatuhkan, mengaibkan dan tak ada yang membina.
“Sekarang dalam apa pun media sosial saya muat naik dan ‘let go’ (lepaskan).
“Saya tak ada baca (komen). Itu saya punya agenda dalam media sosial termasuk Threads,” ujarnya.
Sisi kematangan
Dalam pada itu, Remy yang sudah berada lebih dua dekad dalam industri meletakkan piawaian yang tinggi buat dirinya untuk sentiasa memberikan hasil kerja yang lebih terperinci berbanding sebelum ini.
“Saya rasa kematangan – kita semakin lama semakin serius dalam perbuatan.
“Pemilihan watak ke penggambaran ke memang dah jadi satu benda yang lebih terperinci.
“Bukan nak kata overthinking, semua orang dalam apa bidang sekalipun, bila dah duduk lama dalam satu syarikat atau bisnes, awak akan nak buat lebih baik,” luahnya.
Meskipun ramai yang sering memberikan pujian dari segi kualiti lakonannya, dia enggan mengambil mudah dan nekad untuk sentiasa melakukan yang terbaik demi kepuasan karya.
“Saya dah 21 tahun dalam industri, saya rasa macam kena buat lebih bagus daripada sebelum ini.
“Kalau orang cakap dah okey, tapi saya rasa tak puas,” tutupnya.
Khadam adalah sebuah filem seram Malaysia arahan Shamyl Othman yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 11 Jun depan.
Selain Remy, filem tersebut turut dibintangi pelakon Indonesia, Aghniny Haque dan Siti Khadijah Halim.














