GEORGE TOWN – Pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 yang maut bersama lima lagi penumpang di Kampung Baru Pinang Tunggal di Kedah, petang tadi merupakan anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Deputi Superintendan Mohd. Norazmi Abd Ghapar berkata, mangsa iaitu Lans Koperal Ahmad Shafiq Ahmad Shukri, 29, bertugas di Balai Polis Nibong Tebal.
“Ya…disahkan mangsa merupakan anggota di Balai Polis Nibong Tebal,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, tadi.
Dalam kejadian itu, Ahmad Shafiq dikatakan dalam perjalanan bersama isteri dan tiga anaknya berserta ibu dan adik lelakinya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan enam mangsa maut, manakala seorang lagi parah selepas SUV jenis Proton X50 yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori di Kampung Baru Pinang Tunggal di sini, kira-kira pukul 3.46 petang tadi.
Mangsa maut ialah pemandu, Ahmad Shafiq serta lima penumpang iaitu Nora Mhd Husin, 55; Jamaliah Sannusi, 27; Ahmad Fahim Ahmad Shukri, 21, serta seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan bayi berusia enam bulan.
Mangsa yang parah dikenali sebagai Aulia Sofea Ahmad Shafiq, tiga tahun.
Mayat enam mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk proses bedah siasat. – KOSMO! ONLINE














