GEORGE TOWN -Tindakan sekumpulan anak muda membantu empat beranak termasuk isteri yang sarat mengandung menolak motosikal di Pantai Seagate di sini mendapat perhatian netizen selepas ia tular sejak malam tadi.
Video yang dimuat naik di TikTok itu turut memaparkan tindakan anak muda tersebut membantu membaiki motosikal di tepi jalan sambil diperhatikan pasangan suami isteri berserta dua anak yang masih kecil.
Difahamkan, keluarga terbabit dalam perjalanan dari George Town menghala ke Balik Pulau.
“Kejadian di Pantai Seagate malam tadi. Empat beranak dari George Town menghala ke Balik Pulau. Sampai ke Seagate, sekumpulan anak muda menahan keluarga ini yang menolak motosikal.
“Lalu mereka menolong keluarga tersebut, dalam keadaan isterinya yang sarat mengandung lebih lima bulan.
“Ramai peniaga di tepi pantai memberi sedikit makanan dan minuman kepada keluarga tersebut. Hampir sejam anak muda itu membaiki motosikal sehingga berjaya menghidupkannya semula,” tulis pada kapsyen video tersebut.
Sementara itu, rata-rata pengguna meninggalkan komen positif selain mendoakan kebahagiaan untuk pasangan anak beranak serta anak muda tersebut.
“Alhamdulillah…termakbul juga doa saya sebab tadi tengah jual nampak ada orang duk tolak motor,” tulis Madijadd64.
“Semoga diberikan kebaikan dunia akhirat buat anak-anak muda ini. Amin…,” balas Izatieja.
“Alhamdulillah…terima kasih saudara. Pahala yang menanti saudara. Amin,” tulis seorang lagi pengguna media sosial. – KOSMO! ONLINE














