fbpx
UMAR bukan sahaja berjaya meleburkan rekod kebangsaan miliknya sendiri, tetapi melakukan catatan di bawah 46 saat. - FB OLAHRAGA MALAYSIA

Penantian, kerja keras tiga tahun Umar berbaloi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PELARI 400 meter (m) negara, Umar Osman akhirnya menamatkan penantian selama tiga tahun untuk memecahkan ‘tembok’ 46 saat apabila mencipta rekod kebangsaan baharu menerusi catatan 45.73 saat (s) pada Kejohanan Olahraga New Taipei City 2026 di Taiwan kelmarin.

Catatan sensasi itu hadir ketika Umar mengungguli saingan separuh akhir kedua sebelum meneruskan rentak cemerlang dengan meraih pingat perak pada perlumbaan akhir menerusi masa 46.42s.

Kejayaan tersebut sekali gus memadam rekod kebangsaan miliknya sendiri, 46.09s yang dilakar pada 2023 serta mengukuhkan statusnya sebagai pelari 400m terpantas negara ketika ini.

“Saya sangat gembira. Saya tunggu selama tiga tahun. Penat lelah latihan, jatuh bangun saya tetap nak capai catatan ini. Hari ini hari bersejarah buat saya,” katanya.

Lebih membanggakan, catatan 45.73s itu meletakkan Umar dalam kelompok pelari terbaik Asia dan membuktikan dia kembali menjadi pencabar serius menjelang temasya besar akan datang termasuk Sukan Asia dan Sukan SEA.

Sementara itu, seorang lagi atlet negara, Shereen Samson Vallabouy turut mencuri tumpuan apabila menghadiahkan pingat emas buat Malaysia pada kejohanan sama.

Shereen yang beraksi dalam acara 400m wanita tampil bertenaga untuk muncul juara dengan catatan terbaik musim (SB) 52.73s, sekali gus mengatasi atlet Sri Lanka, Jithma Shenari Wijethunga (53.16s) dan wakil Australia, Sophia Gregorevic (53.86s).

Kemenangan itu merupakan pingat emas kedua Shereen musim ini selepas turut menjuarai Terbuka Singapura pada April lalu, sekali gus memberi petanda positif bahawa prestasinya semakin meningkat menjelang kejohanan-kejohanan utama selepas ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN